ALOR SETAR - Timbalan Ketua Pemuda Pas Kedah, Ahmad Izzat Mohamad
Shauki, 34, kembali ke rahmatullah di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB)
pada 11.10 malam semalam, selepas lebih tiga minggu menerima rawatan
akibat komplikasi kencing manis.
Jenazah Allahyarham yang juga bekas Timbalan Speaker Dun Kedah dan
Bekas Adun Bukit Lada dibawa pulang ke rumah ibunya, di Batu 2,
Lebuhraya Sultan Abd Halim sebelum dibawa ke Masjid Derga, untuk solat
jenazah.
Adun Alor Mengkudu, Ahmad Yahya berkata, jenazah akan disemadikan di
tanah perkuburan Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena, bersebelahan dengan
pusara bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor dan bekas
Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak.
“Solat jenazah kedua dilakukan di Masjid Muassasah Darul Ulum,” katanya.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan lima anak, iaitu empat lelaki
dan seorang perempuan berusia antara tiga hingga 10 tahun.
Pada 20 September lalu, Allahyarham dikejarkan ke HSB apabila rebah
secara tiba-tiba ketika mendirikan solat Maghrib. Allahyarham kemudian
menjalani pembedahan berikutan terdapat darah beku di bahagian otaknya
akibat pendarahan.
Pembedahan itu dilakukan untuk membuang sebahagian tempurung kepala
Allahyarham, selain doktor mengesahkan beliau turut mengalami jangkitan
kuman pada bahagian kanan paru-paru, dan disahkan mengalami ‘minor
stroke’. - SH
No comments:
Post a Comment