16 July 2014

Tentera Iraq lancar serangan ke Tikrit

BAGHDAD 16 Julai - Tentera Iraq semalam melancarkan serangan ke atas Kumpulan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) yang menguasai Tikrit, bandar di utara negara ini dalam usaha mereka menawan semula kawasan itu daripada kumpulan itu yang menguasai beberapa bandar di seluruh Iraq, sejak bulan lalu.

Menurut jurucakap tentera, pasukan keselamatan menggempur bandar itu dari pintu masuk utara dan selatan Tikrit dan cuba mara menuju ke majlis perbandaran di bandar berkenaan yang terletak kira-kira 140 kilometer di barat laut Baghdad.

Operasi tentera semalam diperkuatkan dengan penggunaan kereta kebal, helikopter dan meriam ketika mereka cuba mengambil semula kawalan ke atas bandar itu daripada kumpulan militan.

Anggota ISIL menguasai sebahagian besar kawasan di utara dan barat Iraq ketika berlaku perbezaan politik tentang pemilihan calon untuk kedudukan tiga pimpinan tertinggi di negara ini iaitu speaker Parlimen, Perdana Menteri dan Presiden. - DPA

No comments:

Post a Comment