16 July 2014

Kenaikan OPR sebabkan pembeli rumah tersepit

KUALA LUMPUR 15 Julai - Kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 3.25 peratus, dilihat akan menaikkan kos bayaran pinjaman bulanan serta kuasa beli pengguna terutamanya golongan berpendapatan rendah.


Menurut Penganalisis HLIB Research, Sean Lim, kenaikan 25 mata asas itu menyebabkan bayaran bulanan pinjaman perumahan sedia ada meningkat sebanyak tiga peratus.

Berdasarkan kajian, jika harga rumah yang dibeli itu bernilai RM500,000 dengan pinjaman selama 30 tahun dan wang pendahuluan RM50,000 (10 peratus), bayaran bulanan akan meningkat daripada RM2,201 sebulan kepada RM2,267 sebulan.

Andaian itu dibuat berdasarkan tindakan oleh beberapa buah bank yang pastinya akan menaikkan kadar pinjaman asas (BLR) masing-masing ekoran kenaikan OPR.

BLR purata baharu yang akan ditetapkan oleh bank ialah 6.85 peratus dan untuk menetapkan kadar faedah pinjaman perumahan ialah 6.85 peratus ditolak dengan 2.4 peratus, menjadikan kadar faedah pinjaman rumah 4.45 peratus, naik daripada 4.20 peratus sebelum pelarasan OPR oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

"Itu merupakan antara impak negatif akibat pelarasan OPR. Ia mengurangkan kuasa beli dan menaikkan kos pinjaman," jelasnya di dalam nota kajian baru-baru ini.
Beliau berkata, keadaan itu akan mendorong pembelian rumah-rumah yang mahal akan berkurangan dan pembeli akan beralih kepada harga rumah yang lebih murah.

Hal itu antara lain memberi kesan kepada golongan berpendapatan tinggi dan menengah atas yang menumpukan kepada pasaran rumah berharga murah. Ini sekali gus memberi saingan kepada golongan berpendapatan menengah bawahan dan rendah untuk membeli rumah.

Mengikut kaedah pengiraan yang sama, jika rumah berharga RM300,000 sebuah, bayaran bulanan ialah RM1,360 sebulan daripada RM1,320 sebulan sebelum kenaikan OPR. Jika OPR dinaikkan lagi sebanyak 25 mata asas, bayaran bulanan menjadi RM1,400 sebulan. - Utusan

No comments:

Post a Comment