24 May 2014

Lepas lancar buku, Zunar minta disaman

Kartunis terkenal Zunar mencabar ahli politik dan individu terkenal yang dinamakan dalam buku kartun terbarunya berkaitan kes pertuduhan liwat kedua terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim menyamannya jika fakta disampaikan tidak benar.
 
Katanya, beliau tidak  gentar didakwa di mahkamah Malaysia ekoran penerbitan buku barunya berjudul Komplot penjara Anwar: Najib jatuh hukum, hakim ikut skrip itu.
 
“Hari ini saya mencabar keempat-empat nama ini saman saya kalau saya tulis ini tidak betul saman sahaja.
 
“Saya tidak ada masalah keluar masuk mahkamah Malaysia, sudah jadi perkara biasa bagi saya. Masuk mahkamah Malaysia kalau kita langkah saja kita sudah kalah.
 
“Jadi pergi mahkamah Malaysia ini bukti dan keterangan yang kuat itu sudah tidak memadai, sudah tidak mempunyai apa-apa makna,” katanya ketika berucap dalam acara pelancaran buku beliau di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, di ibu negara malam tadi.
 
Tambahnya, karya beliau yang ke-20 itu berkisar dakwaan wujudnya “perancangan kotor” dan “fitnah kerajaan BN” terhadap Anwar. 
 
Selain kartun, buku setebal 52 muka surat dan mengandungi 50 kartun baru itu turut mengandungi kapsyen dan fakta apa yang didakwanya sebagai “konspirasi” bermula daripada era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Najib Razak.
 
Ketika pelancaran turut hadir memeriahkan majlis dan menyampaikan ucapan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, peguam dan aktvisi Datuk Ambiga Sreenevasan dan ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.
 
Zunar pernah ditahan bawah akta hasutan kerana menerbitkan buku kartun yang dikatakan menghasut rakyat Malaysia membenci kerajaan. 
 
Tujuh buah buku beliau telah diharamkan oleh kerajaan.
 
Sementara itu, A Samad Said (kanan) memuji keberanian Zunar menerbitkan karya sebegitu.
 
“Saya yang tidak begitu tahu tentang kuasa turut rasa terpanggil untuk menghidangkan hal yang genting ini, oleh kerana ia bersangkutan dengan pemimpin yang sedang terdera (Anwar),” katanya. - Mkini

No comments:

Post a Comment