24 May 2014

Suri rumah didakwa sokong pengganas

KUALA LUMPUR 23 Mei - Seorang suri rumah berusia 54 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua tuduhan memberi sokongan terhadap berlakunya perbuatan pengganas melalui laman sosial Facebook, bulan lalu.

Azizah Md. Yusof berhadapan dengan hukuman penjara seumur hidup atau penjara sehingga 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniatkan untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu.

Walau bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripadanya setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.

Ibu lima anak itu didakwa memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas melalui laman sosial Facebook bernama 'Wan Jah' dan 'Azizah Yusof'.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukannya di Bahagian E8, Cawangan Khas, Tingkat 24, Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini kira-kira pukul 2 petang, 24 April lalu.

Pertuduhan tersebut dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan.
Wanita yang bertubuh kurus dan kecil serta berkaca mata dilihat tenang ketika jurubahasa membacakan pertuduhan kepadanya.

Sebelum prosiding bermula, wanita itu yang memakai tudung berwarna merah gelap dan kemeja T lengan panjang berbelang merah jambu serta berseluar panjang gelap bercorak bunga dilihat menangis apabila ahli keluarganya memeluk dan menciumnya yang ketika itu berada dalam kandang tertuduh.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes itu pada 30 Mei ini.

Terdahulu pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan semula seminggu dari hari ini sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Wanita itu yang ditahan oleh pihak polis pada 28 April lalu, diwakili peguam, Nadzarin Wok Nordin dan KC Suzanalena Salleh.

Pada 29 April lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan penahanan seorang suspek kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan mirip pengganas Al-Qaeda dan Jemaah Islamiah (JI) .

Wanita berusia 55 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan itu ditahan di kawasan Keramat di ibu negara pada pukul 4.40 petang.
Berikutan penahanan wanita berkenaan, jumlah ahli kumpulan yang dipercayai membawa fahaman ‘Salafi Jihadi’ itu kini meningkat kepada 10 orang. - Utusan

1 comment:

  1. What a high qսality find оn a rainy Sunday. Thank yoս for brightening
    up my week.

    my web sitе: e liquid

    ReplyDelete