05 March 2014

Ramai sakit tekak, pedih mata


KUALA LUMPUR - Keadaan berjerebu di ibu kota sudah mula memberikan kesan kepada orang ramai yang terpaksa mengharungi jarak penglihatan semakin berkurangan serta kabur selain mereka mengadu mengalami masalah sakit tekak.

Tinjauan Kosmo! di beberapa kawasan termasuk di Taman Tasik Titiwangsa dan Bandar Sri Permaisuri di sini mendapati, orang ramai tetap bebas melaku- kan aktiviti seharian, namun ada dalam kalangan mereka masih belum mengambil langkah pencega- han seperti menggunakan topeng muka.

Bagaimanapun, orang ramai yang ditemui mengakui, keadaan berjerebu yang berterusan sejak kelmarin menyebabkan mereka mengalami sakit tekak, sesak nafas dan pedih mata.
Seorang pekerja swasta, Mohd. Zaimi Hasnizam, 26, berkata, keadaan jerebu di Taman Tasik Titi- wangsa berlarutan sejak dua hari lalu dan keadaan agak buruk semalam.

Katanya, keadaan itu menyebabkan penglihatan menjadi kabur setiap kali menunggang motosikal.
"Saya menyangka masalah jerebu sudah selesai kelmarin tetapi apabila bangun pagi hari ini (semalam), saya melihat jerebu masih ada lagi," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, seorang pedandan rambut, Ong Kok Ming, 25, memberitahu, dia mengalami sesak nafas selain tekak berasa perit kerana kualiti udara yang merosot ekoran jerebu dan cuaca panas serta kering.
"Sekarang saya memang kerap minum air kosong sebab selalu berasa dahaga dan tekak terasa perit.

"Saya ada menyediakan topeng muka serta menasihatkan rakan sekerja agar memakainya, namun langkah penyelesaian sepenuhnya bagi masalah jerebu patut juga dilaksanakan oleh kerajaan," katanya.
Dalam perkembangan sama, tinjauan mendapati, permintaan topeng muka semakin meningkat sejak Ahad lalu.

Seorang penyelia farmasi, Bidah Awang berkata, dalam tempoh 48 jam, pihaknya telah menjual lebih 10 kotak topeng muka di sekitar Bandar Sri Permaisuri.
"Kami telah menelefon pembekal untuk mendapatkan bekalan agar tiada masalah kehabisan topeng muka di farmasi ini.

"Kami jual topeng muka sejak Ahad lalu tetapi kelmarin (Isnin) paling ramai orang membelinya walaupun hujan di sebelah petang," katanya.

No comments:

Post a Comment