05 March 2014

4 termasuk tiga wanita diberkas


GOMBAK - Tiga wanita dan seorang lelaki kesemuanya dipercayai warga Indonesia ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian serangan hendap yang mengakibatkan seorang anggota polis maut manakala seorang lagi cedera parah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan  berkata, kesemua mereka ditahan di kawasan berhampiran di Taman Sentosa, Klang sejurus selepas kejadian itu.

"Polis tahan tiga wanita dan seorang lelaki warga asing dan kami masih cuba mengenal pasti kerakyatan sebenar mereka yang ditahan itu," kata beliau ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini semalam.

Menurut beliau, polis kini sedang mengesan suspek-suspek lain yang dipercayai turut berada atau terlibat dalam kejadian itu.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi semalam, seorang anggota polis peronda, Koperal Raja Aizam Raja Mohd., 53, maut manakala rakannya, Koperal Mohd. Aidil Mustafa, 29, cedera parah selepas diserang hendap sekumpulan warga asing ketika hendak menahan mereka di kawasan perumahan di Taman Sentosa.

Mohd. Shukri memberitahu, sebelum kejadian kedua-dua anggota polis dari Unit Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan terserempak dengan sekumpulan warga asing, termasuk tiga wanita berada dalam keadaan mencurigakan sebelum anggota polis itu cuba memeriksa mereka.

"Selepas memeriksa dan cuba menahan tiga wanita daripada kumpulan warga asing itu, beberapa orang lelaki telah menyerang dua anggota polis itu dari belakang menggunakan parang dan pisau rambo.

"Raja Aizam ditikam di belakang kepala manakala muka Mohd. Aidil luka teruk akibat ditetak," kata beliau.
Bagaimanapun, kata beliau, dalam pergelutan itu, Mohd. Aidil sempat menembak mati dua lelaki yang menyerangnya.
Polis menemui sebilah parang dan pisau rambo di lokasi kejadian. - Kosmo

No comments:

Post a Comment