05 March 2014

11 anak tuntut harta ibu dari jutawan bas ekspress setuju selesai cara baik


Kota Bharu: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, menetapkan 17 April depan untuk merekodkan perintah persetujuan terhadap keputusan kes 11 anak kepada seorang jutawan syarikat bas ekspres terkemuka yang menuntut harta sepencarian dipercayai bernilai jutaan ringgit milik arwah ibu daripada bapa mereka.

Hakim Abu Bakar Kutty menetapkan tarikh itu selepas menemui plaintif, Che Ibrahim Che Ismail, 59, dan defendan, Khalilullah Che Ibrahim, 34, dalam kamarnya, semalam.

Mahkamah memberi tempoh itu bagi memberi peluang berbincang secara sulh terhadap pembahagian harta sepencarian itu selepas kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya secara baik pada 2 Mac lalu.

Peguam Syarie Mustapa Kamal Mat Hasan yang mewakili Khalilullah dan 10 adik beradiknya ketika ditemui berkata, kedua-dua pihak bersetuju mengadakan sulh bagi menyelesaikan isu kes tuntutan harta sepencarian itu.

“Nampaknya setakat ini ada kesepakatan ke arah penyelesaian secara baik dan itu lebih baik mengikut hukum syarak dan undang-undang Islam,” katanya.

Dalam pada itu Khalilullah berkata, setakat semalam, perbincangan untuk menyelesaikan perkara itu berjalan baik, lancar dan penuh tolak ansur.

“Sepatutnya hari ini (semalam) mahkamah merekodkan perintah persetujuan kami adik-beradik dengan ayah, namun selepas mendapati terdapat beberapa perkara yang perlu dibincangkan dengan teliti, mahkamah memberi tarikh baru.

“Sebelum ini pun saya dan adik-beradik lain berbincang dengan ayah untuk menyelesaikan kes itu secara baik.

Alhamdulillah, ia menunjukkan tanda positif,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, 11 anak Che Ibrahim yang juga pemilik syarikat bas Ekspres Mutiara menuntut harta sepencarian dipercayai bernilai jutaan ringgit milik ibu mereka, Paizah Mohd Yusoff yang meninggal dunia pada 2008.

Semua plaintif memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, pada 2 Oktober 2011.

Selain Khalilullah dan Khairul Anam, plaintif lain ialah Tamtini, 33; Amalina, 32, Khairul Azhan, 31, Khairul Anam, Khairul Adnin, 27, Salsabila, 23, Siti Nahwan, 21, Muhammad Atifuddeen, 19, Muhammad Amar, 14, dan Nurul Aufa, 16.

Semua plaintif menuntut harta sepencarian arwah ibu mereka bermula dari tarikh perkahwinan arwah dengan Che Ibrahim pada 22 Februari 1979 sehingga ibu mereka meninggal dunia pada 24 September 2008. - HMetro

No comments:

Post a Comment