05 March 2014

'Jenayah melonjak 20,000 kes dalam 60 hari'


KUALA LUMPUR - Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) mendakwa hanya dalam 60 hari sahaja, kes jenayah di Malaysia telah melonjak secara mendadak sebanyak 20,096 kes sejak Januari lalu.

Pengerusinya, R Sri Sanjeevan mendakwa, lebih malang lagi apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) cuba menyembunyikan indeks jenayah sebenar daripada pengetahuan umum dengan memanipulasi angka sebenar bagi mengelakkan perspesi negatif masyarakat terhadap kadar jenayah di Malaysia.

Katanya, daripada jumlah itu, kecurian motosikal merupakan kes jenayah tertinggi yang direkodkan sebanyak 6,146 kes.

"Ini menunjukkan hampir 334 kes jenayah direkodkan setiap hari dalam tempoh dua bulan lalu sahaja.

"Namun pihak polis tidak mendedahkan angka tersebut kepada pengetahuan umum betapa seriusnya tahap keselamatan negara kini," katanya ketika menyampaikan Forum Sudah Sampai Masanya Mereformasikan Pasukan Polis, di sini, malam semalam.

Mengulas lanjut, beliau kesal apabila polis tidak memasukkan jenayah bukan indeks dalam pengiraan turun naik kadar jenayah di negara ini.

"Apabila jenayah bukan indeks tidak diambil kira, kadar jenayah di negara ini dilihat seolah-olah menurun sedangkan jenayah semakin meningkat," katanya.

Menurutnya, daripada jumlah itu, kes kecurian biasa merupakan jenayah kedua tertinggi sebanyak 2,995 dan diikuti dengan pemerdagangan manusia sebanyak 2,885 kes.

Tidak terkecuali jenayah membunuh yang mencatatkan 67 kes. - SH


Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan menunjukkan indeks jenayah sebenar yang disembunyikan pihak polis daripada orang ramai pada Forum Time To Reform The Police Force di KL & Selangor Chinese Assembly Hall, Kuala Lumpur, malam semalam. - Foto Sinar Harian Online oleh Nizam Zain

No comments:

Post a Comment