27 January 2014

Pemimpin protes ditembak mati

Kumpulan penunjuk perasaan berarak menuju ke pusat pengundian di seluruh negara, semalam. Foto: EPA

BANGKOK - THAILAND. Seorang pemimpin protes antikerajaan ditembak mati ketika beliau sedang berucap di belakang lori pikap dalam insiden keganasan terbaru di negara itu, semalam.

Jurucakap Jawatankuasa Reformasi Demokrasi Rakyat (PDRC), Akanat Promphan memaklumkan tembakan tersebut tepat mengenai kepala dan leher Suthin Tharathin.

"Insiden ini jelas menunjukkan kerajaan gagal menyediakan kawalan keselamatan kepada rakyat walaupun  perintah darurat telah dikuatkuasakan," katanya.

Sementara itu, Pusat Kecemasan Erawan mengesahkan 11 mangsa turut cedera dalam kejadian tersebut.

Difahamkan, Suthin merupakan mangsa ke-10 yang terkorban sejak negara itu dilanda krisis politik meruncing, kira-kira tiga bulan lalu.

Dalam perkembangan lain, ratusan penunjuk perasaan bertindak mengepung pusat pengundian di Bangkok hingga memaksa 19 daripada  50 pusat tersebut ditutup atas sebab keselamatan.

Setiausaha Agung Suruhanjaya Pilihan Raya, Puchong Nutrawong memberitahu, penyokong PDRC tersebut turut menghalang kakitangan mereka menjalankan tugas hingga menyukarkan proses pengiraan undi.

Difahamkan, dipetik dari AFP, lebih dua juta penduduk mendaftar untuk mengundi lebih awal walaupun mahkamah memutuskan bahawa tarikh pilihan raya yang sepatutnya diadakan pada 2 Februari depan boleh ditangguhkan.- SH

No comments:

Post a Comment