28 January 2014

Pasangan ditahan di Sweden: Anak pindah ke keluarga Islam tidak lama lagi

Pasangan Azizul Raheem Awalludin dan isteri, Shalwati Norshal ditahan pihak berkuasa Sweden sejak hampir 40 hari lalu.

Khidmat Sosial Stockholm akan memindahkan anak pasangan Malaysia yang ditahan pihak berkuasa tempatan sebelum ini kepada sebuah keluarga Islam Malaysia dalam masa terdekat.

Perkara itu disahkan seorang pegawai tertinggi Khidmat Sosial kepada Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Sheikh Nafiq Alfirdaous hasil pertemuan kedua-dua pihak petang ini waktu tempatan di Stockholm.

Sheikh Nafiq berkata, ketika ini Khidmat Sosial Stockholm hanya menunggu persetujuan kedua-dua ibu bapa dan kelulusan mahkamah sebelum pertukaran itu dimuktamadkan.

"Kita harap perkara ini dapat dilakukan secepat mungkin atau dalam masa terdekat. Moga rakyat Malaysia teruskan doa dan sokongan," katanya kepada media Malaysia selepas pertemuan di pejabat Khidmat Sosial di Stockholm.

Difahamkan, pertukaran itu akan diadakan dalam tempoh 24 jam namun bergantung kepada kepantasan semua proses yang disebut.

Pasangan itu merupakan pegawai Tourism Malaysia di Sweden iaitu Azizul Raheem Awalludin dan isterinya Shalwati Norshal seorang guru sedang dalam tempoh bercuti tanpa gaji, yang ditahan sejak 18 Disember lalu kerana didakwa mendera anak mereka atas alasan tidak bersolat.

Berikutan penahanan kedua-duanya, mereka terpisah dengan anak sejak hampir 40 hari dan pihak berkuasa Sweden melantik keluarga angkat bukan Islam untuk menjaga keempat-empat beradik berkenaan. - Bernama, 28 Januari, 2014. - TMI

No comments:

Post a Comment