SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor membidas tindakan bekas Adun Kajang, Lee
Chin Cheh meletakkan jawatan tanpa alasan munasabah sebaliknya hanya
ingin memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih
kerusi tersebut.
Justeru, dilihat sebagai satu bentuk pengkhianatan kepada rakyat
Selangor serta rakan komponen dalam Pakatan Rakyat (PR) Selangor
sedangkan negeri itu ditadbir secara bersama oleh Pas, PKR dan DAP.
Menurut Ketua Pemuda Pas Selangor, Syarhan Humaizi Abdul Halim,
pihaknya kesal dan kecewa dengan tindakan tersebut yang menurutnya
dilihat membelakangkan rakan daripada PR dalam membuat keputusan.
"Melihat situasi yang berlaku, peletakan jawatan itu hanya semata-mata
untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding
sepertimana yang telah diumumkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid
Ibrahim pagi tadi.
"...oleh itu Pemuda Pas Selangor mengingatkan PKR bahawa Selangor
khususnya adalah negeri yang ditadbir secara bersama oleh Pas, PKR dan
DAP,...sepatutnya persetujuan bersama amatlah diperlukan.
"...ini kerana tiada istilah Selangor adalah negeri PKR atau
sebaliknya, maka tindakan sebegini akan mengeruhkan suasana politik
antara PR dan memberi imej negatif kepada rakyat," katanya menerusi satu
kenyataan hari ini.
Semalam, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh mengumumkan peletakan jawatan Chin Cheh.
Berikutan kekosongan kerusi itu, mesyuarat pimpinan PR memutuskan untuk
meletakkan Anwar sebagai calon yang akan mewakili gabungan parti itu.
Menggulas perkara yang sama, Syarhan Humaizi turut bersetuju dengan
kenyataan Pengarah Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda Pas Malaysia, Mohd
Sany Hamzan yang menuntut agar PKR mengemukakan penjelasan bertulis yang
munasabah kepada Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Malaysia untuk
menjelaskan perkara tersebut.
"Oleh itu Pemuda Pas Selangor sebulat suara bersetuju sekiranya PKR
gagal berbuat demikian maka arahan akan dikeluarkan kepada seluruh
jentera Pemuda Pas Selangor untuk tidak memberikan kerjasama dalam
kempen Pilihan Raya Kecil Dun Kajang jika calon yang dikemukakan adalah
daripada PKR," tegasnya. - SH
Eh, baguslah Anwar (orang Islam) ambil alih Chin Cheh (orang bukan Islam). Elok PAS bermesyuarat melihat kewajaran keanggotaan Syarhan ditarik.
Kenyataan dan kelakuan Pemuda PAS sangat tidak bijak dan sangat memalukan! Tolong sedar diri, Selangor tidak berjaya ditawan tanpa PKR dan DAP. Harap belajar selok-belok politik daripada senior-senior veteran PAS supaya lebih matang.
ReplyDelete