03 January 2014

PAS: Fatwa 'halal darah' bahaya pada keselamatan

DatukTuan Ibrahim Tuan Man
PAS mendesak Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menarik balik 'fatwa' yang dilapor menyifatkan peserta demonstrasi membantah kenaikan harga barang pada 31 Disember lalu dianggap 'bughah' (penderhaka) dan 'halal darah mereka'.

Naib presiden PAS DatukTuan Ibrahim Tuan Man berkata 'fatwa' tokoh agama itu sangat bahaya kepada keselamatan negara dan bertentangan dengan maksudnya dalam Islam.


"Fatwa beginilah yang menyebabkan ribuan penunjuk perasaan ditembak di Mesir kerana ia adalah fatwa sesat yang jauh menyimpang dari landasan syarak.

"Istilah 'bughah' merujuk kepada pemberontakan bersenjata sebahagian rakyat bagi menumbangkan kerajaan Islam yang memerintah dengan penuh keadilan dan mengikut lunas syarak.

"Kerana itu, ia termasuk dalam hukum hudud, bukan takzir," tegas Tuan Ibrahim.

Dalam kenyataan medianya Tuan Ibrahim turut menegur mana-mana mufti supaya mendapat maklumat sebenar berdasarkan kajian, tinjauan dan memahami kes sebelum mengeluarkan sesuatu fatwa.

"Apakah rakyat yang keluar membantah kenaikan harga barang dan kos hidup yang melampau, penentangan terhadap rasuah dan salah guna kuasa oleh pemerintah serta berleluasanya kemungkaran dalam negara adalah ‘bughah’, yang halal darah mereka?

"Mufti tidak hanya boleh bergantung pada maklumat dari media perdana yang dikuasai kerajaan untuk menyebarkan dakyah politik dan juga menyimpang daripada fakta.

"PAS mengesa kenyataan ini ditarik balik bagi mengelak pihak-pihak yang jahil dan pelampau agama untuk mengambil kesempatan untuk bertindak sewenang-wenangnya kerana terpengaruh dengan fatwa songsang tersebut," katanya. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment