05 January 2014

Demonstrasi Besar-Besaran Akan Diadakan Jika Lawrence Enggan Minta Maaf

KLANG: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sekretariat Solidariti Umat Islam Daerah Klang berhimpun di Stadium Sultan Sulaiman pada Ahad sebagai membantah penggunaan kalimah 'Allah' di kalangan penganut Kristian.


Pertubuhan itu membantah tindakan Pengarang Herald-The Catholic Weekly, Paderi Lawrence Andrew yang tetap bertegas mahu menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya.
Kenyataan Lawrence menimbulkan kemarahan di kalangan bebeberapa NGO Islam termasuk, ahli Umno Selangor.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Kapar, Datuk Saroni Judi berkata pada Ahad, bahawa Lawrence harus meminta maaf atau berdepan 'demonstrasi besar-besaran' bagi menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.
Isu itu timbul selepas beberapa pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu dan merampas 351 salinan bible dalam Bahasa Malaysia dan Iban yang mengandungi perkataan 'Allah' dari premis Persatuan Bible Malaysia (PBM), Khamis lalu.

Terdahulu, Jais mengingatkan semua gereja di Selangor supaya mematuhi larangan penggunaan kalimah 'Allah' seperti yang termaktub di bawah Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988.

"Kami menyokong tindakan Jais menyerbu dan menegakkan undang-undang ke atas gereja supaya mereka mematuhi undang-undang di negeri ini," kata Saroni.
Sementara itu, Setiausaha Agung Jalur Tiga (Jati), Norman Toha berkata, mereka berhimpun secara aman.
"Ini bukan perang ke atas penganut Kristian, ia hanya terhadap Lawrence.

"Dia patut meminta maaf berhubung kenyataannya dan jika dia melakukannya, kami akan bersemuka dan berjabat tangan dengannya," kata Norman.
Kumpulan tersebut juga akan menghantar satu salinan faks kepada Lawrence untuk menjelaskan mengenai pandangan dan permintaan mereka.

Salah seorang peserta perhimpunan itu, Hushim Salleh berkata, penggunaan kalimah 'Allah' di kalangan orang bukan Islam adalah satu cara halus untuk mempengaruhi umat Islam menganut agama Kristian.
"Saya adalah seorang kaunselor, percayalah, ia adalah satu cara halus untuk mengelirukan umat Islam," katanya.

Kira-kira 100 peserta menyertai perhimpunan aman itu. - Mstar

Tanpa mengira fahaman politik, umat Islam perlu bersatu dalam soal ini.

No comments:

Post a Comment