KOTA BHARU - Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) yang didapati
menentang dasar kerajaan secara langsung boleh digantung atau
dihentikan daripada memegang jawatan itu.
Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Zaluzi Sulaiman berkata, pada tahun
ini, mereka perlu melalui sesi temu duga bagi memastikan mereka yang
tidak menyalahi peraturan disambung perkhidmatan.
“Segelintir guru Kafa yang dilantik sebelum ini dikenal pasti tidak
menjalankan tanggungjawab sebagai penjawat awam yang sepatutnya
mendokong hasrat kerajaan.
“Walaupun kita mendapati perkara ini tidak begitu serius di parlimen
ini, namun pencegahan awal perlu dilakukan bagi melahirkan pendidik yang
lebih mantap,” katanya selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan
Guru-guru Kafa bagi Parlimen
Pengkalan Chepa di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN), di sini, semalam.
Pada majlis itu, seramai 301 guru Kafa menerima surat pelantikan yang
turut dihadiri Timbalan Ketua Umno Bahagian, Ismail Omar; Naib Ketua
Umno Bahagian, Wan Shahrul Azuan Abdul Aziz dan Ketua Pemuda Umno
Bahagian, Haris Hussin.
Zaluzi berkata, tindakan tegas perlu diambil kepada mana-mana individu
terbabit kerana Kerajaan Pusat memperuntukkan lebih RM50 juta setiap
tahun untuk guru Kafa di negeri ini.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Jabatan
Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Amran Mamat berkata, tindakan
memberhentikan guru Kafa berkenaan adalah wajar.
“Pada tahun ini, kita membuat tapisan terperinci bagi memilih mereka
yang betul-betul layak dan berkemampuan mendidik anak bangsa,” katanya. - SH
No comments:
Post a Comment