MELAKA - Kementerian Pendidikan akan mengintegrasikan Sistem Pengurusan
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) dan Sistem Pengurusan Sekolah
(SPS) sebagai satu pengkalan data bagi meringankan beban guru di sekolah
dalam tempoh dua bulan akan datang.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia iaitu Pengintegrasian 1Data.
Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Madinah Mohamad berkata melalui
langkah itu, guru hanya perlu memasukkan maklumat pengoperasian harian
sekolah menggunakan satu sistem.
"Kementerian sedang meneliti dan berusaha mengintegrasikan kedua-dua
sistem ini dan guru tidak perlu menggunakan pelbagai sistem sehingga
membebankan tugas mereka sebagai pengajar," katanya kepada pemberita
selepas menghadiri majlis dialog Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA)
Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal bersama kira-kira 2,000 guru dan pegawai
pelaksana negeri Melaka dalam program Pemantapan Profesion Guru (PPG) di
sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.
Dr Madinah berkata usaha itu juga perlu dilaksanakan secara serius
kerana guru berhadapan masalah mengakses kedua-dua sistem berkenaan
disebabkan capaian sistem tersebut sering tergendala dan sukar diakses.
Beliau berkata pengintegrasian kedua-dua sistem tersebut akan
dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama kementerian dan JPA
sebelum diperluaskan di 10,091 sekolah seluruh negara, menjelang akhir
tahun ini.
Mengulas lanjut, Madinah berkata bilangan maklumat yang perlu
dimasukkan guru akan berkurangan daripada 130 maklumat kepada kira-kira
60 maklumat.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Zabidi berkata Program Pemantapan
Profesion Guru bertujuan memartabatkan profesion guru supaya golongan
itu memberi fokus sepenuhnya kepada tugas pengajaran dan pembelajaran
tanpa perlu melaksanakan tugas pentadbiran akan diperluas secara
berperingkat di enam zon melibatkan Sabah, Sarawak, Utara, Selatan,
Timur dan Barat.
"Pada masa ini, program ini sedang dilaksanakan di negeri Melaka
sebagai negeri perintis melibatkan 313 sekolah yang telah bermula sejak
Januari lepas," katanya.
Katanya kajian rintis itu memberi fokus kepada beban tugas guru khas
meliputi guru penyelaras bestari, guru data serta guru perpustakaan dan
media. - Bernama
Tukarlah dasar macamana cantik pun. Kalau pengurus sekolah (guru besar / pengetua) kamu (kementerian) biar dia buat apa dia suka. Tak guna ( mereka sebahagian daripada beban guru di sekolah ).