02 November 2013

81,000 penjawat awam terima surat opsyen bulan ini

PUTRAJAYA - Lebih 600,000 penjawat awam yang terlibat dalam 81 skim perkhidmatan awam yang ditambah baik di bawah Bajet 2014 akan menerima surat tawaran opsyen itu bulan ini.
 
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, mereka perlu memberi maklum balas dalam tempoh sebulan daripada tarikh surat itu dikeluarkan oleh ketua jabatan masing-masing.
 
Menurutnya perjumpaan dengan bahagian sumber manusia di semua agensi dan kementerian terlibat untuk memberi maklumat terperinci berhubung penambahbaikan itu akan diadakan secepat mungkin.
 
Bercakap pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Cuepacs mengenai skim itu di sini hari ini, Mohamad Zabidi berkata mereka yang tidak bersetuju dengan opsyen itu akan kekal dalam skim atau jawatan asal.
 

"Antara penambahbaikan itu ialah kenaikan taraf skim perkhidmatan gred 1 hingga 10 kepada gred 11, pemberian dua tambahan kenaikan mata gaji dan pertukaran nama beberapa skim seperti diminta Cuepacs dan kesatuan berkaitan," katanya.

Mohamad Zabidi berkata, penambahbaikan itu adalah sejajar dengan kerja keras penjawat awam pada masa kini yang bekerja dengan cepat, tepat dan produktif.
 
Berikutan penambahbaikan terhadap 81 skim perkhidmatan itu, beliau berkata jumlah skim perkhidmatan sedia ada dapat dikurangkan daripada 274 kepada 249 skim bermula 1 Jan 2014.
 
Sebelum ini, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata, kesatuan sekerja yang terlibat dalam penguatkuasaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta pihak berkuasa tempatan mengemukakan memorandum penambahbaikan skim perkhidmatan masing-masing kepada kerajaan.
 
Sementara itu Omar berkata, skim-skim lain yang tidak termasuk dalam 81 skim yang ditambahbaik itu masih mempunyai harapan untuk mendapat peluang yang sama.
 
"Untuk skim yang lain, kami sedang berunding," katanya.  - Bernama


81 skim perkhidmatan itu melibatkan;
Pembantu Kawalan Trafik Udara
Pemandu Lokomotif Sabah
Pereka
Pegawai Kebudayaan
Ahli Fotografi
Jurusolek
Pegawai Galian
Pegawai Kimia Bumi
Pegawai Kaji Bumi (Geofizik/Kaji Bumi)
Penolong Pegawai Galian
Penolong Pegawai Kimia Bumi
Pembantu Galian
Pembantu Kaji Bumi
Pegawai Makmal Filem
Penolong Pegawai Makmal Filem
Pembantu Makmal Filem
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma
Pensyarah Perubatan
Pensyarah Pergigian
Pembantu Pegawai Latihan Vokasional/
Penolong Pegawai Latihan Vokasional/
Pegawai Latihan Vokasional
Pengajar Kraf
Pembantu Pertanian
Pembantu Veterinar
Renjer Hutan
Pengajar Membalak
Pengawas Hutan
Pembantu Hidupan Liar
Pembantu Hidupan Liar Rendah
Tukang K1
Tukang K2
Tukang K3
Pemandu/ Operator Jentera Pemunggah
Operator Loji
Pekerja Awam Khas
Pekerja Awam
Penyelamat
Pelukis Pelan
Juruteknik Landskap
Juruteknik
Juruteknik Ukur
Juruteknik Perancang Bandar dan Desa
Pembantu Pemeriksa Kilang dan Jentera
Penguasa Bekalan Air
MerinyuTali Air
Pegawai Perhubungan Preman
Penyelia Jeti
Penghantar Notis
Pembantu Kamera/Pemandu
Pemandu Kenderaan
Pembantu Am Pejabat
Pengurus Stesen
Penyelia Jurupakaian
Peniup Kaca
Pegawai Khidmat Pelanggan
Pengawas Pemulihan
Pegawai Penerbitan
Penolong Pegawai Penerbitan
Pembantu Penerbitan
Operator Kamera Offset/ Pembuat Plat
Penolong Operator Kamera
Penolong Pegawai Penyelidik Sosial
Pembantu Penyelidik Sosial
Pengurus Asrama
Penolong Pengurus Asrama
Penyelia Asrama
Penolong Pegawai Tadbir Tanah
Pembantu Tadbir Tanah
Pegawai Pemeriksa Paten
Pemandu Enjin (Keretapi Bukit Bendera)
Pembantu Pemuliharaan
Jurulatih Kawad
Pembantu Wartawan/Wartawan
Atendan Kesihatan
Penolong Pegawai Penaksir
Pegawai Aktuari
Pegawai Angkatan Tetap, Angkatan Tentera Malaysia
Askar Laskar Angkatan Tetap, Angkatan Tentera Malaysia