Naib Cancelor baru Universiti Malaya Prof Datuk Dr Mohd Amin
Jalaludin tekad untuk memperkukuhkan lagi Universiti Malaya (UM)
terutamanya dalam memberikan dasar pendidikan terbaik.
Beliau yang gembira dengan pelantikan tersebut berkata akan melakukan
sebaik mungkin dengan memperbaiki kelemahan dan meningkatkan
kecemerlangan UM.
"Saya amat berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri
Muhyiddin Yasin yang juga Menteri Pendidikan kerana percaya dan
memberikan mandat untuk saya mentadbir institusi ini.
"Saya akan lakukan yang terbaik, meneruskan perjuangan Naib Cancelor
yang lama," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Mohd Amin dilantik sebagai Naib Cancelor UM yang baru menggantikan Tan
Sri Dr Ghauth Jasmon bermula 8 November 2013 hingga 7 November 2016.
“Pemilihan Prof Datuk Dr Mohd Amin adalah berdasarkan kepada kriteria
yang telah ditetapkan oleh Kementerian di samping pengalaman beliau
dalam aspek pembangunan akademik UM.
“KPM berharap agar pelantikan beliau dapat meningkatkan pencapaian UM
menerusi pemantapan kepimpinan universiti, kualiti penyelidikan dan
penerbitan, kualiti staf akademik, mahasiswa, kedudukan di peringkat
antarabangsa serta penjanaan pendapatan,” kata satu kenyataan daripada
Kementerian Pendidikan Malaysia.
Sebelum dilantik sebagai Naib Canselor, Mohd Amin adalah Timbalan Naib
Canselor Akademik dan Antarabangsa di UM dan pakar dalam bidang
perubatan 'Head and Neck' dan Otologi.
Beliau memperoleh Ijazah Perubatan dan Pembedahan ( MBBS) daripada UM
pada tahun 1982. Beliau kemudiannya dianugerahkan Fellow Royal College
of Surgeons, Edinburgh pada 1989. - 30 Oktober, 2013. - MI
Buat apa meneruskan perjuangan NC lama? Baik tak payah tukar. Biar sahaja yang lama duduk di situ. Harapan besar warga UM adalah perubahan bukan penerusan.