02 November 2013

Serangan AS: Ketua Taliban Pakistan, Hakimullah Mehsud dilapor terbunuh

PESHAWAR: Pemimpin Taliban Pakistan, Hakimullah Mehsud dilaporkan terbunuh dalam satu seranganroket Amerika Syarikat (AS), semalam demikian menurut pegawai perisikan dan pejuang militan.

Mehsud, yang menjadi individu amat dikehendaki AS dalam senarai pengganas, ditawarkan AS$5 juta sebagai hadiah kepada penahanan atau kematiannya.

Beliau dipercayai menjadi dalang dalam serangan pengganas ke atas pangkalan CIA di Afghanistan, serangan bom kereta di Times Square New York dan beberapa serangan di Pakistan yang meragut ribuan nyawa awam dan anggota keselamatan.


Mehsud, 34, seorang komander Taliban yang sentiasa bekerjasama rapat dengan rangkaian al-Qaeda, dilaporkan terbunuh pada 2010, namun muncul semula selepas itu.


Namun hari ini, pegawai perisikan kanan AS berkata, pihaknya mempunyai pengesahan yang positif bahawa Mehsud telah terbunuh dalam serangan itu.

Dua pegawai perisikan Pakistan turut mengesahkan kematian Mehsud bahawa dua komander Taliban menyaksikan sendiri mayat Mehsud selepas serangan itu.
Seorang lagi komander Taliban berkata, Taliban mungkin akan memilih pengganti Mehsud hari ini.

“Sekiranya benar, kematian Hakimullah Mehsud akan memberi tamparan yang hebat kepada Taliban Pakistan (TTP), satu pertubuhan yang menjadi ancaman serius kepada rakyat Pakistan dan warga Amerika di Pakistan," kata Michael Morell, bekas pemangku pengarah CIA yang bersara Ogos lalu.

Mehsud dilaporkan terbunuh dalam serangan sekurang-kurangnya empat roket AS berdekatan perkampungan Dande Derpa Khel di utara Wilayah Waziristan.

Empat lagi suspek militant juga terbunuh termasuk sepupu Mehsud, bapa saudara dan pengawalnya.

Identiti suspek keempat bagaimanapun tidak diperoleh. - AFP