KUALA LUMPUR - Suspek yang menembak mati pegawai wanita Ambank dalam kes
rompak dan bunuh di cawangan bank itu di USJ Sentral 2, Subang Jaya
Rabu lepas dipercayai masih berada dalam negara, kata Timbalan Ketua
Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.
Beliau berkata, pihaknya telah menubuhkan pasukan petugas khas yang berpusat di Selangor untuk menjejaki suspek.
"Task force ini juga dibantu oleh jabatan lain di Bukit Aman dan kita
akan pastikan perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya
kepada pemberita selepas upacara perbarisan tamat latihan Kursus Asas
Kadet Inspektor Siri 1/2013 di Pusat Latihan Polis di sini hari ini.
Dalam kejadian itu Norazita Abu Talib, 37, ditembak di muka oleh
seorang pengawal keselamatan bank itu selepas mangsa membuka pintu bilik
kebal bank itu.
Semalam polis menahan dua lelaki dan seorang wanita yang dipercayai
isteri pengawal keselamatan tersebut dan menemui semula lebih 20,000
yang dipercayai antara jumlah keseluruhan wang rompakan RM450,000 yang
dilarikan suspek.
Bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang, Mohd Bakri berkata
polis akan membantu Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan proses
penapisan ke atas pengawal keselamatan di setiap syarikat kawalan
keselamatan.
"Kita akan beri bantuan kepada KDN untuk memastikan saringan
pemeriksaan saringan kepada anggota keselamatan dilakukan kerana mereka
menggunakan senjata api dan kita utamakan firma keselamatan yang
terbabit dalam kes tembak baharu-baharu ini," katanya.
Mengulas pula kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) N
Surendran yang mahu membela pengawal keselamatan tersebut, beliau
menyifatkan wakil rakyat parti pembangkang itu mengeluarkan kenyataan
bodoh.
"Bagi saya, ini kenyataan bodoh. Tiada apa yang boleh saya komen.
Suruh dia ikut kita dan rasa bagaimana perasaan seorang anggota polis
melaksanakan tugas dan tanggunjawab dalam operasi tertentu yang
mengakibatkan mereka ini terdedah kepada ancaman peluru dan sebagainya
sebelum membuat keputusan itu," katanya.
Mengulas peruntukan RM8.8 bilion yang diperuntukkan kepada Polis Diraja
Malaysia (PDRM) dalam Bajet 2014, Mohd Bakri berkata langkah itu akan
memberi impak besar kepada PDRM dari segi menambah baik prasarana dan
aset ke arah meningkatkan tahap perkhidmatan polis kepada masyarakat.
Katanya peruntukan itu meliputi RM200 juta bagi kelengkapan seperti
senjata api, jaket kalis peluru, alat pengesan narkotik, sistem
biometrik dan kenderaan forensik.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika
membentangkan Bajet 2014 mengumumkan peruntukan tersebut kepada PDRM
dalam usaha mengurangkan kadar jenayah di seluruh negara. - Bernama