28 October 2013

Bekas banduan serah diri lepas bunuh isteri


Seorang lelaki yang baru dibebaskan dari penjara 12 Okt lalu, menyerah diri kepada polis selepas menikam isteri yang kemudian mati, dalam kejadian di Ladang Bukit Darah Kundang, Sungai Buloh dekat Kuala Lumpur malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata suspek berusia 35 tahun itu menyerah diri di Balai Alam Jaya tidak lama selepas kejadian.

"Dalam kejadian 9 malam itu, suspek pulang ke rumah dalam keadaan mabuk dan menuduh isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

"Suspek menggunakan pisau sepanjang 32 cm untuk menikam isteri yang berusia 36 tahun beberapa kali di bahagian belakang, bagaimanapun mangsa sempat melarikan diri ke rumah jiran dalam keadaan berlumuran darah dan meminta bantuan sebelum mati beberapa minit kemudian," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurutnya siasatan awal juga mendapati pasangan itu sering bergaduh.

Polis sedang meneliti rekod jenayah suspek dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 506 kanun yang sama.

- Bernama