25 October 2013

Cuepacs kecewa kakitangan awam dapat bonus setengah bulan

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kecewa dengan bonus setengah bulan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2014 yang diumumkan petang tadi.

Timbalan Presiden Cuepacs, Azih Muda, berkata pihaknya menuntut bonus sebanyak dua bulan, tetapi Najib memberi bonus setengah bulan.
“Kita tidak berpuas hati kerana penjawat awam bergantung kepada bonus setiap tahun kerana terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang lebih untuk persekolahan dan perayaan.


“Kakitangan kerajaan tidak mempunyai simpanan sebanyak itu," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Azih berkata, bonus adalah pengiktirafan kepada penjawat awam kerana banyak memberi sumbangan dalam melaksanakan perkhidmatan kepada kerajaan.

Beliau berkata, Cuepacs mengakui pemansuhan subsidi gula sebanyak 34 sen yang berkuatkuasa esok bakal menjejaskan penjawat awam kerana ia menyebabkan pertambahan kos sara hidup rakyat, ditambah lagi dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

"Kenaikan harga makanan pasti berlaku, bukan sahaja kepada penjawat awam tetapi semua rakyat turut merasai kesannya terutama kerana kenaikan harga gula ini. Ini belum termasuk GST yang kita tidak tahu lagi impaknya kepada rakyat," katanya.

Bagaimanapun, katanya, Cuepacs memuji kerajaan kerana memberi tambahan kepada Bantuan Rakyat 1Malaysia  (BR1M) dari RM500 kepada RM650.
The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan Cuepacs  menyarankan kerajaan memberi bonus dua bulan gaji kepada 1.4 juta penjawat awam dalam Bajet 2014.

Azih berkata, pemberian bonus tersebut wajib diberikan kepada penjawat awam kerana kos sara hidup semakin meningkat kini.
Pembentangan Bajet 2014 oleh Najib sebentar tadi antaranya menyaksikan rakyat bakal berdepan dengan cukai GST bermula 1 April 2015 sebanyak 6 peratus, kenaikan harga gula berkuatkuasa esok dan BR1M 3.0 diperluaskan kepada isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450. - 25 Oktober, 2013.