17 October 2013

Rumah dibina 30 hari

KUALA LUMPUR 16 Okt. - Kebanyakan kita mungkin pernah melihat kilang pemasangan kereta yang sebahagian besar kerja dilakukan oleh robot sebagaimana yang terdapat di kilang pemasangan kereta nasional, Proton.

Bagaimanapun ramai yang tidak sedar industri perumahan di kebanyakan negara, khususnya negara maju telah memasuki fasa tersebut, di mana penggunaan teknologi tinggi dapat menjimatkan masa, kos serta penggunaan tenaga kerja.

Bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan di dalam industri yang berkembang pesat ini, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) kini sedang berusaha membawa teknologi dari luar negara termasuk dari Jepun, China, Australia, United Kingdom serta Amerika Syarikat dan disesuaikan dengan keperluan teknologi tempatan.
Rumah yang ingin dibina oleh PR1MA itu adalah berkonsep pasang siap yang mampu dibina dalam tempoh 30 hingga 60 hari tetapi yang lebih penting ia sangat kukuh sehingga mampu menahan gempa bumi.

Rumah tidak lagi dibina di tapak pembinaan, tetapi dibina di dalam kilang dan apabila 90 peratus siap, ia dipindahkan ke tapak untuk menyiapkan 10 peratus lagi kerja pembinaan.
Rumah itu merangkumi jenis banglo sehingga apartmen dan jika mengikut spesifikasi asalnya yang dibina di Jepun, rumah itu mampu menahan gempa sehingga sembilan skala richter dengan anggaran harga antara RM150,000 dan RM300,000.


Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, untuk mewujudkan kesedaran masyarakat tentang teknologi terkini itu, syarikat yang dipertanggungjawab membina rumah mampu milik negara itu merancang untuk membina sebuah rumah contoh di Putrajaya supaya orang ramai dapat melihat sendiri bagaimana rumah itu dibina dan terjamin dari segi keselamatan serta kualiti.

"Kesedaran ini penting kerana teknologi pasang siap yang digunakan untuk membina rumah sebelum ini sedikit bermasalah dan ia telah menjadi stigma," katanya dalam satu pertemuan baru-baru ini.
Oleh kerana PR1MA tidak mempunyai tanah di Putrajaya, syarikat berkenaan akan menyewa sekeping tanah untuk menempatkan rumah berkenaan dan dipindah ke tempat lain jika perlu.

Antara syarikat pembinaan rumah terkenal di dunia ialah sebuah syarikat dari Jepun iaitu Sekisui yang mengikut maklumat dari laman webnya telah ditubuhkan pada tahun 1960 dan telah membina dua juta buah rumah.

Syarikat berkenaan juga telah memperluaskan operasinya ke seluruh dunia dan mempunyai 21,000 orang pekerja, termasuk kilang yang terdapat di Bangkok.
Satu lagi syarikat yang mendapat pengiktirafan dunia ialah Kumpulan Broad dari China yang sedang mencipta rekod dunia membina bangunan tertinggi di dunia yang dikenali sebagai Sky City One setinggi 220 tingkat dalam masa tiga bulan.

Syarikat berkenaan sebelum ini telah mengejutkan dunia apabila membina bangunan 30 tingkat dalam masa 15 hari.
Dalam pada itu kata Abdul Mutalib, bagi memastikan pembinaan rumah mampu milik dapat berjalan dengan segera sementara menunggu pembinaan kilang tersebut, PR1MA telah menukar status 30 projek perumahan pemaju swasta iaitu merangkumi 38,757 kepada projek perumahan PR1MA.

PR1MA, katanya, meletakkan sasaran 80,000 buah rumah dibina menjelang akhir tahun ini dengan menggunakan kaedah tersebut. - Utusan