Calon Naib Presiden Umno, Senator Datuk Seri Mohd Ali Rustam (gambar)
disiasat polis kerana dituduh membuat kenyataan menghasut terhadap
komuniti Cina dalam satu majlis di Kuala Lumpur.
Polis Kuala Lumpur sudah memulakan siasatan mereka selepas laporan
polis dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana dari
DAP, Lai Kuen Ban di Balai Polis Tengkera pada 9 Oktober.
Pada satu majlis anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) 8
Oktober lalu, Mohd Ali yang juga Pengerusi PUNB mengecam kaum Cina
kerana terlibat dengan “perniagaan haram” di negara ini.
"Kita umat Islam tidak boleh membuka kasino, 4D, Toto, perjudian, rumah
urut dan syarikat pinjaman wang haram. Ini semua haram. Kaum Cina
sahaja yang terlibat dengan semua perniagaan haram ini," katanya pada
majlis itu.
Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong yang menemani Lai untuk membuat
laporan polis berkata, dalam laporan berkenaan, Lai mendakwa kenyataan
Mohd Ali merupakan satu hasutan dan mahu polis menyiasat perkara itu.
Lai kini berada di luar negara.
“Polis merakamkan kenyataan Lai pada hari sama,” kata Khoo.
Polis Brickfields menyiasat kes itu berikutan kenyataan Mohd Ali itu dibuat di sebuah hotel di ibu kota.
Ketua Polis Brickfields, ACP Muhammad Azlee Abdullah mengesahkan
laporan sudah dibuat dan penyiasatan akan dilakukan tetapi enggan
memberikan kenyataan lanjut.
Bagaimanapun, The Malaysian Insider difahamkan bahawa polis sudah mula
merakamkan kenyataan beberapa orang yang berada di majlis itu termasuk
wartawan.
Dalam majlis itu, Mohd Ali juga bercakap mengenai soal keperluan
mengekalkan orang Melayu di agensi kerajaan, termasuk polis dan tentera.
Untuk memenangi undi golongan konservatif Umno, bekas Ketua Menteri
Melaka itu turut berkata: "Kaum Cina mahukan segalanya. Orang Melayu
telah layan mereka dengan baik.
"Apabila kaum Cina mahukan pertolongan membina sekolah dan biasiswa,
kerajaan berikan kepada mereka. Tetapi pada hari pilihan raya, mereka
lupa semua ini. Apa yang penting bagi mereka mengambil alih kuasa orang
Melayu dan menjadikan mereka 'pendatang’,” katanya.
Kenyataan Mohd Ali itu mengganggu emosi 100 hadirin di majlis itu sambil sesetengahnya menjerit, “suruh Cina balik kampung.”
Mohd Ali adalah salah seorang daripada enam calon yang mahu mengisi
tiga kekosongan jawatan naib presiden dalam pemilihan Umno Sabtu ini.
Calon lain ialah penyandang Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri
Shafie Apdal and Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selam Menteri Besar
Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa
Samad.
Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menang tanpa dicabar oleh sesiapa.
Dalam pemilihan Umno 2009, Mohd Ali bertanding jawatan Timbalan
Presiden tetapi dibatalkan pencalonannya kerana didapati terlibat dengan
politik wang. – 17 Oktober, 2013.