19 October 2013

Dr Mahathir: Jangan halang penganut Kristian di Sabah dan Sarawak guna “Allah”

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) menyifatkan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak tidak perlu dihalang daripada menggunakan kalimah Allah kerana mereka telah lama menggunakan kalimah itu sebagai rujukan kepada tuhan.

Beliau berkata semasa menjadi perdana menteri, sememangnya halangan tersebut tidak timbul dan penganut Kristian boleh menggunakan kalimah Allah di dua negeri itu.
"Kita berpendapat mereka yang telah menggunakan kalimah itu di Sabah dan Sarawak, boleh terus menggunakannya kerana mereka telah lama menggunakan kalimah tersebut.

"Tetapi, ada pihak yang mahu membawa kalimah itu di Semenanjung untuk apa? Mereka di sini tak pernah guna pun. Ini adalah usaha mewujudkan ketegangan di antara kumpulan agama. Untuk apa? Kes ini telah dibesar-besarkan.

"Mereka di Sabah dan Sarawak guna kalimah itu sebelum ini, kita tak cakap apa pun," katanya dalam satu sidang media selepas majlis sambutan Aidiladha di Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu, Dr Mahathir melihat kerajaan tidak harus mengurangkan subsidi secara drastik dalam pembentangan Bajet 2014 kerana menurutnya mekanisme itu tidak akan berkesan jika kerajaan terus boros dalam berbelanja.

Beliau berkata kerajaan seharusnya menambah pendapatan dari segi cukai dan pelaburan berbanding terus berbelanja secara berlebihan.
"Apa yang kita boleh ambil pengajaran terbaik adalah dengan kemuflisan Grece di mana sebelumnya negara itu berbelanja seperti prinsip negara kaya dengan memberikan gaji yang tinggi tetapi mereka tidak mampu yang seterusnya memaksa Greece untuk memohon pinjaman.

"Itu contoh terbaik apabila sesebuah negara mendapatkan pinjaman tetapi tiada pulangan hasil kepada negara itu semula. Saya sangat berharap kerajaan mengambil pengajaran daripada kisah Greece ini," katanya.
Apabila ditanya adakah sekarang masa yang sesuai bagi Malaysia untuk melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Dr Mahathir berkata ia tidak bergantung kepada masa asalkan perlaksanaannya dilakukan secara berperingkat.

Beliau berkata, cukai kepada rakyat juga tidak boleh dinaikkan secara mendadak kerana ia akan menekan rakyat.
"Cukai yang dinaikkan sedikit demi sedikit tidak akan terlalu membebankan rakyat malah mereka akan terbiasa dengannya," katanya.

Bernama hari ini melaporkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan membayangkan GST tidak akan dilaksanakan pada Bajet 2014.
Ahmad berkata, kerajaan pada dasarnya bersetuju melaksanakan GST, namun masih belum memutuskan bila dan berapa kadar peratusan cukai yang akan dikenakan pada peringkat awal perlaksanaannya.
"Bila hendak dibuat, berapa peratus kita tidak tahu, tetapi sudah nyata dalam jawapan rasmi bahawa kita akan melaksanakannya," katanya. - 18 Oktober, 2013.

Kalau ikut 'fatwa' Noh Gadut teruk orang tua ni.