16 October 2013

Tidak wajar kata Muslim kafir kerana soal penggunaan kalimah Allah, kata Asri

Bekas mufti Perli, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (gambar) menolak pandangan mengatakan seseorang Muslim tersebut kafir kerana mempersoalkan pengharaman penggunaan kalimah Allah ke atas penganut agama lain.

Kenyataan Asri tersebut membidas bekas mufti Johor, Datuk Noh Gadut, yang juga penasihat Majlis Agama Islam, kerana memberi amaran kepada penganut Muslim yang mempersoalkan pengharaman kalimah Allah ke atas yang bukan Muslim.

"Walaupun kamu penyokong kuat kerajaan dan bersetuju dengan apa yang mereka lakukan, kamu tidak boleh mengeluarkan kenyataan yang memperlihatkan kebodohan kamu," kata Asri kepada The Malaysian Insider.

Asri kemudian menjelaskan isu kalimah Allah hanya menjadi pertikaian di Semenanjung Malaysia, sebaliknya kalimah suci tersebut tidak menjadi isu di negara-negara lain yang juga mengamalkan ajaran Islam.
"Di negara Arab yang penganutnya Muslim, tiada masalah seperti ini. Negara seperti Jordan dan Mesir, kalimah Allah telah digunakan oleh pihak gereja besar lebih 1,400 tahun dahulu lagi," katanya lagi.

"Jadi, adakah beliau (Noh) berkata semua cerdik pandai Muslim dan ulama seluruh dunia kecuali di Semenanjung Malaysia adalah kafir?"
Asri menganggap kenyataan sedemikian oleh Noh akan memberikan kesan yang besar kerana isu kalimah Allah tidak wujud di negara Islam lain.

"Beliau menuduh umat Islam seluruh negara sebagai murtad kerana membenarkan Kristian menggunakan kalimah Allah, ini sangat besar," dakwa Asri.
Noh dipetik berkata dalam Utusan Malaysia menyelar sesiapa yang mempersoalkan keputusan Mahkamah Rayuan sebagai menderhaka dan keji.

"Jika Muslim mempersoalkan dengan menyedarinya, mereka boleh dianggap sebagai kafir atau menjadi murtad," kata Noh yang dipetik berkata dalam Utusan Malaysia.
Selain itu, Asri juga menerangkan selagi kalimah Allah digunakan untuk merujuk kepada "paling agung", ia tidak bukan satu masalah kepada pihak bukan Islam untuk menggunakannya.

"Jadi, ia sebenarnya bukan satu isu. Muslim percaya kepada satu tuhan. Maka bagaimana kita boleh mengatakan Tuhan kamu berbeza daripada saya," tambah beliau.
Mahkamah Rayuan dalam keputusan semalam sebulat suara telah menghalang gereja Katolik daripada menggunakan kalimah Allah dalam akhbar mingguan berbahasa Melayu Herald sebagai rujukan kepada Tuhan bagi agama Kristian.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang mempengerusikan panel tiga anggota hakim berkata ia dianggap dapatan mahkamah bahawa Kementerian Dalam Negeri tidak bertindak dalam apa-apa cara yang mewajarkan campurtangan badan kehakiman mengenai keputusannya melarang penerbitan itu menggunakan kalimah Allah.

Isu kalimah Allah bermula pada awal 2009 apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan permit akhbar Herald menggunakan kalimah Allah merujuk kepada Tuhan.
Tindakan tersebut menyebabkan gereja mengemukakan saman kepada kerajaan kerana melanggar hak dalam Perlembagaan.

Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan semakan keputusan dan membatalkan pengharaman oleh KDN untuk menggunakan kalimah Allah oleh Herald.
Hakim turut menjelaskan gereja mempunyai hak dalam Perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam akhbarnya kerana agama selain Islam boleh mengamalkannya secara aman dan harmoni.

Katanya, meskipun Islam merupakan agama Persekutuan, ia tidak memberi kuasa kepada kerajaan menghalang gereja menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya. – 16 Oktober, 2013.