Penjawat awam dan institusi awam harus bersedia untuk menolak sikap
berpuas hati selain tidak melindungi zon selesa mereka demi memenuhi
tuntutan serta harapan orang ramai, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri
Dr Ali Hamsa.
Beliau berkata dalam konteks Malaysia, adalah amat
jelas bahawa harapan orang ramai terhadap akauntabiliti dan
keresponsifan menunjukkan peningkatan ketara dengan pengalaman dalam
sektor swasta dan kepesatan pembangunan teknologi.
"Sebaliknya,
kita harus menerima teknologi baharu; sistem yang cekap, kepelbagaian
penduduk dan perkhidmatan yang ditambah nilai.
"Hanya selepas
itu kita boleh menganggap diri kita sebagai bertanggungjawab dan
responsif terhadap permintaan semasa," katanya pada majlis makan malam
mengalu-alukan peserta Persidangan Serantau Persatuan Pentadbiran Awam
dan Pengurusan Komanwel (Capam) 2013 di Kuching malam ini.
Turut hadir Menteri Perumahan negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, yang mewakili Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Ali,
yang juga Naib Presiden Capam, berkata sebagai pemimpin yang diamanah
memastikan tahap tertinggi kebertanggungjawaban, profesionalisme,
kebergunaan, kecekapan dan etika yang diamal serta disampaikan dalam
perkhidmatan awam, mereka harus bersedia membuat keputusan sukar, jika
perlu.
Persidangan tiga hari itu, yang berakhir Selasa ini,
adalah untuk menggalakkan pembangunan dan pembaharuan perkhidmatan awam
di negara Komanwel seiring perubahan masa serta sebagai tindak balas
kepada cabaran semasa - Bernama
Gaji cukup makan, kerja pun gitu jugalah.