Jumlah bil elektrik bagi kediaman rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak di Kompleks Seri Perdana adalah sebanyak RM2,237,788.13 pada
2012.
Manakala sebanyak RM311,174.25 dibelanjakan untuk pembayaran air sepanjang tahun tersebut.
Perkara itu dimaklumkan dalam jawapan bertulis daripada Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim bagi menjawab soalan
ahli parlimen Seremban Anthony Loke.
Beliau bertanya mengenai
butir-butir bil elektrik dan air serta kos penyelenggaraan kediaman
rasmi Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam jawapan itu, Shahidan juga memberitahu, kompleks itu dibina atas tanah 42.5 ekar.
Ia
dilengkapi kemudahan ruang pejabat, bilik-bilik mesyuarat, bilik tetamu
serta kemudahan sokongan bagi membantu melancarkan urusan harian PM.
Shahidan juga berkata Kompleks Seri Setia - kediaman rasmi Muhyiddin
pula - sebanyak RM865,458.56 telah dibelanjakan bagi tujuan pembayaran
bil elektrik pada tahun yang sama.
Manakala sebanyak RM99,264.03 dibelanjakan untuk pembayaran bil air sepanjang tahun 2012. - Mkini