25 October 2013

Bajet 2014 harus atasi defisit, ketirisan, kata ahli Parlimen dan ahli perniagaan

Bajet 2014 yang akan diumumkan hari ini seharusnya mempunyai pendekatan yang mencukupi bagi mengimbangi defisit fiskal negara, kata sekumpulan ahli Parlimen dan ahli perniagaan.

Bercakap kepada The Malaysian Insider, mereka menuntut Putrajaya menguruskan kadar hutang negara yang kini berada pada paras 53.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 43% pada 2008 dan semakin menghampiri 55%.


Kadar hutang berkenaan berpunca daripada jangkaan ekonomi yang perlahan pada kadar 4.5 kepada 5% dan penurunan kredit oleh agensi Fitch.

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata amat penting untuk menguruskan kedudukan kewangan negara dan rasionalisasi subsidi tidak seharusnya digunakan untuk membiayai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan 'one-off', sebaliknya perlu digunakan untuk mengurangkan tanggungan kerajaan.

"Walaupun bantuan seperti itu baik untuk rakyat tetapi ia boleh menyebabkan ketagihan kerana bila dapat sekali, dua kali atau tiga kali ia akan mengakibatkan ketagihan. Kerajaan tidak boleh membiayai bantuan sedemikian.

“Apabila diberikan bantuan sedemikian, mereka hanya akan berbelanja, ia bagus untuk ekonomi namun kesannya singkat," katanya yang juga seorang akauntan bertauliah berkenaan kepada The Malaysian Insider.
Nur Jazlan berkata, setiap perbelanjaan seharusnya mempunyai pulangan dengan mengambil contoh pembinaan jalan dan jambatan yang memberikan pulangan jangka panjang.

Beliau turut menyokong pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) antara kadar 3 hingga 4% kerana ia mampu memberikan pulangan kepada kerajaan.
"GST perlu dilaksanakan kerana pada akhirnya kita perlu mengimbangi sistem pulangan kita," katanya.
Bagaimanapun, katanya, beliau mengakui pelaksanaan cukai berkenaan bukan tindakan popular namun ia perlu dilakukan sekarang jika tidak,  ia sudah terlambat.

Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong, berkata beliau berharap ada pendekatan untuk mengukur tahap ketirisan yang dilaporkan Laporan Ketua Audit Negara 2012 daripada terus berulang.
"Walaupun ia tidak dinyatakan dalam bajet, ketirisan perlu diatasi dan itu adalah perkara yang berterusan.
"Tidak boleh jika rakyat disarankan berjimat tetapi kerajaan sendiri tidak berjimat. Akauntabiliti amat diperlukan bagi perbelanjaan kerajaan," katanya.

Chua berkata, beliau menjangkakan bajet yang akan diumumkan menangani ketirisan sehingga memperluas bayaran cukai pendapatan dan mengandungi langkah bagi rumah mampu milik.
Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming menjangkakan bajet berkenaan akan meliputi pelaksanaan GST termasuk pemberian BR1M berjumlah RM600.

“Jika kerajaan hendak melaksanakan GST dan memindahkan beban kepada rakyat, mereka perlu melaksanakannya terlebih dahulu dengan mengamalkan langkah penjimatan. Namun saya tidak melihat perkara itu.
"Adanya keperluan untuk mengalirkan lebih banyak dana kepada negeri dan autonomi ekonomi terhadap kerajaan negeri.

"Hanya dengan memusatkan perbelanjaan umum dan pembuatan keputusan, kita akan melihat perbelanjaan kerajaan yang lebih akauntabiliti dan bertanggungjawab," katanya.
Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen menuntut Putrajaya untuk meningkatkan perbelanjaan pembangunan sehingga 30% daripada bajet untuk mengukuhkan rakyat.

Beliau berkata, Putrajaya perlu berhenti daripada memberikan konsesi jangka panjang sebaliknya menetapkan kadar maksimum tujuh tahun.
Ketua Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Mohd Nizam Mahshar, berkata bajet kali ini diharapkan menyentuh soal ketirisan dan pembaziran seperti Laporan Ketua Audit Negara 2012 bagi mengekalkan kelangsungan.

Katnaya, kerajaan perlu memastikan kumpulan sasar untuk menerima kesan positif daripada bajet berkenaan.
"Ia seharusnya bajet yang mampu memberikan kesan besar dan fokus kepada hasil. Itu adalah rangkanya," katanya.
Mohd Nizam berkata, bajet berkenaan perlu menyentuh soal perumahan mampu milik.
Katanya, dengan kadar 40% bagi mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah RM1,800, harga rumah dalam lingkungan RM150,000 hingga RM200,000 bukan rumah mampu milik.

"Kita perlu menggunakan standard Bank Dunia bahawa rumah perlu tiga kali daripada pendapatan tahunan isi rumah sebagai landasannya," katanya.
Beliau berkata, pemberian subsidi juga perlu disasarkan kumpulan fokus yang benar-benar memerlukan.
Selain pemberian wang tunai, katanya, kerajaan perlu juga melihat rumah kos rendah dan stamp makanan.
"Bajet yang berkesan akan fokus kepada hasilnya. Bukan populariti namun bagi memastikan kelangsungan kerajaan sehingga lima atau 10 tahun akan datang," katanya.

Pengerusi Persatuan Pembuatan Malaysia, Tan Sri Yong Poh Koon, berkata beliau mengharapkan adanya bantuan untuk syarikat yang melalui saat sukar berdepan masalah ekonomi.
Beliau berkata, bajet kali ini diharapak membawa berita baik bagi membantu syarikat melalui insentif untuk penyelidikan, pembangunan dan penaikan taraf keupayaan pembuatan.

Mengenai GST, Yong berkata, ia akan menyukarkan terutamanya kepada pengeksport kerana rantaian akhir akan ditanggung kerajaan terhadap GST.
"Jadi akan berlaku jumlah yang besar dikembalikan kerajaan. Bagaimana ia diuruskan akan menjadi kunci kepada sejauh mana sektor pembuatan menerima GST," katanya.  – 25 Oktober, 2013. - TMI