Datuk Suhaimi Ibrahim, bekas setiausaha politik kepada Datuk Seri
Shahrizat Abdul Jalil muncul hari ini mengakui beliau adalah individu
yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi
tujuan siasatan.
Semasa mengadakan sidang media di Kelab Tasik Putrajaya petang tadi,
Suhaimi berkata beliau disiasat atas pertuduhan salah guna wang program
akhiri zaman miskin (1AZAM).
Katanya, sekurang-kurangnya tujuh individu dari kementerian lain turut dipanggil bagi membantu siasatan.
"Tiada apa yang hendak disembunyikan. Ya, saya ditahan tetapi maklumat
yang disiarkan di blog dan portal tidak semuanya betul," katanya.
Menurut laporan, SPRM menyita 10 kenderaan mewah Suhaimi namun beliau menafikan laporan itu.
"Jika ada pihak yang mempersoal kemewahan saya, seperti tersiar di
blog, itu hasil usaha keras saya. Saya seorang ahli perniagaan sejak
1995 dan dari situlah datang sumber kewangan itu."
Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benta, Pahang
ditahan reman empat hari sejak Jumaat berhubung kes itu dan dibebaskan
pada Selasa.
Suhaimi tidak bercerita lanjut butiran penyiasatan.
"Saya tidak terlibat dalam program 1AZAM. Saya telah bekerjasama dengan
SPRM dan kini saya mahu membersihkan semula nama saya," katanya.
Ketika ditanya adakah beliau akan dipanggil semula oleh SPRM, katanya, "Saya telah berikan kerjasama."
Berhubung penahanannya, beliau menerima panggilan dari SPRM pada petang Jumaat supaya datang ke ibu pejabatnya di Putrajaya.
"Saya datang sendiri dan tiba pada jam 5 petang dan disoal sepanjang minggu."
Suhaimi berkata selepas ini beliau mahu memberi fokus kepada perniagaan
dan tidak mahu terjebak lagi dalam pertuduhan sedemikian.
"Perniagaan saya tiada kaitan dengan kementerian atau program di
bawahnya. Namun untuk mengelak sebarang tuduhan, lebih baik saya berdiam
diri," katanya.
Ketika ditanya adakah dakwaan ini satu usaha mencemarkan bekas orang
atasannya itu berikutan pemilihan Umno akan berlangsung tidak lama lagi,
Suhaimi enggan mengulas.
Beliau mengingatkan media agar berhenti memberikan maklumat yang salah berhubung penahanannya.
Program 1AZAM adalah sebuah inisiatif kerajaan dibawah pengelolaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Program itu diperkenalkan pada Januari 2010 bagi memberi peluang
perniagaan dan pertanian kepada golongan miskin menceburi bidang
tersebut.
Jabatan Kebajikan Masyarakat telah membelanjakan RM1.35 billion bagi
menyediakan bantuan kepada 473, 928 penerima seluruh negara. - 18
September, 2013. - TMI