KUALA LUMPUR - Permodalan Nasional Bhd (PNB) sedang meneliti struktur
yang sesuai bagi penubuhan dana Skim Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2),
sama ada berharga tetap seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau
berubah-ubah, dan dilancarkan dalam tempoh terdekat.
"Penelitian sedang kita buat sekarang untuk memastikan produk itu lebih
berkesan, kerana mengikut kajian, kebanyakan produk-produk yang
harganya berubah-ubah, kurang dijual," kata Presiden dan Ketua Eksekutif
Kumpulan Tan Sri Hamad Kama Piah.
"Tetapi kalau harga tetap, banyak yang terjual. Jadi itu lah kita
sedang teliti supaya produk yang akan dilancarkan nanti lebih berkesan,"
katanya kepada pemberita selepas mengumumkan pengagihan pendapatan
Amanah Saham 1 Malaysia, di sini hari ini.
Diminta mengulas bila skim ini akan dilancarkan, Hamad Kama berkata: "Yang penting kita nak buat secepat mungkin.
"Kesesuaian waktu juga penting kerana sekiranya dana tersebut
dilancarkan dalam suasana pasaran indeks yang terlalu tinggi, ia mungkin
akan menjejaskan prestasi produk itu sendiri," katanya.
Selain itu, Hamad Kama berkata PNB juga sedang meneliti jenis-jenis
pelaburan yang akan dijalankan, di samping mendapatkan kelulusan
daripada pihak berwajib dan memastikan sistem komputer dapat berjalan
lancar.
"Kita berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana masih lagi percaya
dan memberi amanah kepada PNB untuk melancarkan satu lagi produk baharu
yang saiznya berskala besar," kata Hamad Kama.
Sabtu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan PNB
dipertanggungjawabkan untuk melancarkan ASB2 dengan suntikan sebanyak
10 bilion unit saham, bagi memantapkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam
sektor korporat.
Hamad Kama juga berkata ASB sedia ada telah menjual sebanyak 110 bilion unit.
"Ini menggambarkan bahawa selama ini, ASB terutamanya, telah memberi
pulangan yang agak kompetitif kepada para pelabur, dan memang ramai
pelabur meminta kita tambahkan saiz daripada maksimum 200,000 unit
kepada paras yang lebih tinggi.
"Ini menunjukkan mereka berminat untuk melabur dalam ASB," katanya.
ASB ialah skim unit amanah yang dilancarkan pada 2 Jan 1990 dan dibuka
untuk Bumiputera, dengan objektif untuk menjana pulangan jangka panjang,
konsisten dan kompetitif kepada pemegang unit, selain memastikan
pengekalan modal pada tahap toleransi risiko yang minimum.
ASB juga ialah dana ekuiti pendapatan pada harga tetap seunit, RM1.00,
dan pelaburan maksimum bagi setiap individu dewasa yang layak terhad
kepada RM200,000. - Bernama