PUTRAJAYA 18 Sept. - Bekas Setiausaha Politik
Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Suhaimi Ibrahim menegaskan
sebanyak 10 kenderaan mewah yang dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan dana Program Akhiri Zaman Miskin
(1Azam) bukan miliknya.
Beliau yang kesal dengan laporan media berhubung perkara itu berkata,
kenderaan mewah tersebut milik individu lain yang turut disiasat dalam
kes berkenaan sambil menegaskan tiada sebuah kereta, harta atau sebarang
dokumen miliknya dirampas SPRM sehingga kini.
Menurutnya, kesemua 10 kenderaan mewah tersebut juga bukan milik proksi beliau sebagaimana dakwaan pihak tertentu.
Sehubungan itu, Suhaimi yang juga bekas Presiden Gabungan Pelajar
Melayu Semenanjung (GPMS) meminta media berhati-hati melaporkan perkara
tersebut dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang
sekiranya laporan tidak benar tersebut terus berulang.
Tambahnya, beliau tampil memberi penjelasan kerana yakin bebas
daripada amalan rasuah selain mengambil sikap berani kerana benar
walaupun mengakui dugaan yang diterima kali ini paling mencabar
sepanjang hidupnya.
"Saya beritahu terus terang, 10 buah kenderaan mewah itu bukan milik
saya tetapi milik individu lain yang turut disiasat dalam kes ini. Tapi
media melaporkan seolah-olah hanya saya seorang sahaja yang disiasat.
Lebih tujuh individu yang disiasat oleh SPRM dalam kes ini.
"Boleh tanya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau sahkan sendiri
dengan SPRM. Tiada sebuah kereta atau harta benda saya yang dirampas.
SPRM juga tidak merampas sebarang dokumen. Saya datang memberi
keterangan dengan sukarela," katanya dalam sidang akhbar di sini hari
ini.
Semalam media melaporkan, seorang bekas setiausaha politik kepada
bekas menteri Kabinet dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM100,000
selepas ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan berhubung
penyelewengan dana program 1Azam dengan 10 buah kenderaan mewah turut
dirampas.
Menurut Suhaimi, jika benar terbabit dalam penyelewengan dana projek
1Azam, beliau tidak mungkin hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya Jumaat
lalu berseorangan tanpa ditemani peguam.
"Pegawai SPRM telefon minta saya hadir. Saya datang sukarela tanpa
ditemani peguam.
Saya bagi kerjasama sebaik mungkin ketika disiasat
selama lima hari kerana percaya saya bersih daripada rasuah. Selebihnya,
biarlah SPRM buat kerja kerana saya tidak mahu ganggu siasatan,"
katanya.
Mengenai dakwaan rumahnya di Taman Melawati dekat sini, juga ada
kaitan dengan penyelewengan dana program 1Azam, Suhaimi berkata, pihak
yang membuat fitnah itu sepatutnya sedar beliau sudah terlibat dalam
pelbagai jenis perniagaan seperti pembinaan, restoran dan pertanian
sejak 1995.
"Tiada satu pun perniagaan itu ada kaitan dengan tugas saya sebagai
bekas setiausaha politik sebelum ini. Saya beli rumah terbabit hasil
rezeki melalui perniagaan. Jangan membuat tuduhan melulu tanpa
siasatan," katanya. - Utusan