GEORGE TOWN - Para pelanggan kedai mamak dan restoran nasi kandar di
negeri ini mendakwa mereka kini terpaksa membayar lebih 20 sen bagi
setiap harga makanan dan minuman yang dijual di kedai-kedai itu sejak
kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak Isnin lalu.
Tinjauan Kosmo! di sekitar Bayan Baru, Bayan Lepas dan George Town
mendapati lima buah kedai nasi kandar di kawasan terbabit telah
menaikkan harga makanan seperti roti canai, nasi lemak serta pelbagai
lauk selain menaikkan harga minuman teh tarik dan minuman berais.
Sekeping roti canai kini perlu dibayar RM1 berbanding 80 sen sebelum
ini, teh tarik RM1.20 berbanding RM1, nescafe ais RM1.90 berbanding
RM1.70, milo ais RM1.90 berbanding RM1.70 manakala jus buah-buahan pula
RM2.70 berbanding RM2.50.
Penyelia sebuah restoran nasi kandar di Bayan Baru memberitahu, harga
baharu itu diputuskan oleh pihak pengurusan dan berkuat kuasa
serta-merta tetapi dia menolak kenaikan tersebut ada kaitan dengan
kenaikan harga petrol. - Kosmo