Ketua Polis Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad, berkata polis mempunyai
bidang kuasa untuk menangkap Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said pada
bila-bila masa.
Penahanan Samad pada jam 12.40 pagi tadi mengundang kemarahan pengguna
laman sosial dan kebanyakannya meluahkan rasa tidak puas hati terhadap
kejadian itu.
"Suka hati polis hendak tangkap jam berapa pun, kita tidak ada tempoh,
kalau kita hendak tangkap, kita tangkap,” kata Zainuddin ketika
dihubungi oleh The Malaysian Insider sebentar tadi.
"Saya tidak faham kenapa sibuk-sibuk kritik tengah malamlah, ini kerja
polis, jangan ganggu kerja polis," katanya mengulas kritikan pengguna
internet terhadap tindakan polis itu menahan Samad yang juga Pengerusi
Bersama Bersih 2.0 itu.
Ketika ditanya apakah rasionalnya polis menangkap pada waktu malam,
Zainuddin berkata, waktu malam adalah lebih sesuai untuk melakukan
tahanan.
Antara yang marah dengan tindakan polis itu ialah Ketua Pembangkang,
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkannya sebagai biadap.
"Tindakan biadab! A Samad Said umur 80 tahun diheret jam 12 malam?"
Reaksi Anwar melalui akaun Twitternya ketika mengetahui Samad ditahan.
Anwar turut menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf kepada sasterawan negara itu.
“Tak dapat soal siasat siang hari? Perikemanusiaan?" katanya.
Tindakan polis menahan Samad turut dikritik rakan seperjuangannya,
Datuk Ambiga Sreenavasan yang juga Pengerusi Bersama Bersih 2.0.
"Pak Samad, Pengerusi Bersama Bersih 2.0 ditahan dan dibawa ke Balai
Polis Dang Wangi. Layanan yang mengejutkan dalam menghormati sasterawan
negara," memetik dari laman twitter Ambiga.
Samad ditahan polis di rumahnya di Bangsar, kira-kira jam 12.40 pagi
dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur
untuk membantu siasatan berhubung pengibaran bendera Sang Saka Malaya.
Sasterawan negara itu disoal siasat selama hampir dua jam selepas tiga
anggota polis mengambilnya di rumah berhubung insiden pada malam ambang
kemerdekaan ke-56 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Samad diwakili peguam, Latheefa Koya dan Eric Paulsen.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menggesa Samad
menyerah diri kepada polis apabila mendakwa Samad "hilang" daripada
polis.
Sebelum ini, polis turut menahan dan menyoal siasat aktivis,
Hishamuddin Rais dan Adam Adli di bawah Akta Hasutan 1948 semalam. – 4
September, 2013.
Esok anak biadap pada dia jangan salahkan sbb sudah tunjuk contoh yang buruk terhadap orang tua.