SEGAMAT - Kerajaan hari ini disaran mengurangkan subsidi harga gula
secara berperingkat sebagai langkah menggalakkan rakyat mengurangkan
penggunaan bahan itu dalam makanan dan minuman sekaligus mengurangkan
penghidap diabetes.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata: "Setakat ini
bilangan penghidap diabetes di negara ini telah meningkat kepada 2.6
juta orang atau 15 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.
"Ini semua berlaku kerana rakyat kita tidak mengawal penggunaan gula
dalam makanan dan minuman," katanya kepada pemberita selepas merasmikan
kempen kesedaran diabetes dan gaya hidup sihat Parlimen Segamat di Dewan
Orang Ramai Pekan Buloh Kasap di sini.
Menurutnya penyakit kencing manis (diabetes) menjadi masalah besar
kepada negara kerana mereka yang menghidap penyakit itu akan berisiko
mengidap penyakit lain seperti masalah penglihatan dan penyakit buah
pinggang.
Setakat ini katanya, dilaporkan terdapat seramai 16,000 orang pesakit
buah pinggang dalam senarai menunggu untuk mendapatkan pemindahan organ
itu daripada penderma yang purata hanya terdapat seramai 40 hingga 50
orang setahun.
Beliau turut mencadangkan agar pekedai makanan dan minuman tidak
mencampurkan gula dalam minuman yang dipesan pelanggan sebaliknya
meletakkan gula dalam bekas berasingan supaya pelanggan boleh membuat
pilihan sama ada menggunakan gula atau sebaliknya dalam minuman. -
Bernama
Harga barang makanan akan meningkat naik. BN = Barang Naik = Beban Negara