SHAH ALAM - Selepas mengeluarkan kenyataan bahawa Pas terbuka untuk
bekerjasama dengan Umno, Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang nampaknya
terus mendapat perhatian blogger terkenal, tukartiub.blogspot.com.
Pemilik blog berkenaan yang juga aktivis politik, Hishamuddin Rais
dilihat seolah-olah mempersendakan kenyataan Hadi dan menganggap
pemimpin itu "meroyan".
"Kenapa tiba-tiba Hadi meroyan nak jumpa Najib.
"Tahukah Hadi di mana Najib sekarang," tulisnya dalam laman mikro
Twitter seperti mengajuk Pas kerana berulang kali mengutarakan perkara
ini tanpa sebarang hasil.
Abdul Hadi semalam dipetik sebagai berkata, Pas sedia untuk
bekerjasama dengan Umno termasuk berdialog bagi membincangkan pelbagai
isu jika parti itu dipelawa.
Katanya, Pas boleh berbincang mengenai apa sahaja isu dan sejarah
membuktikan pemimpin-pemimpin Pas dan Umno boleh berada bersama di atas
satu pentas.
Beliau berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan
bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor pernah bersama dalam
satu forum suatu ketika dahulu.
"Dasar kita boleh berbincang apa sahaja isu seperti jenayah, rasuah dan
ekonomi. Kalau kita diajak kita boleh pergi, kita boleh bincang,"
katanya.
Abdul Hadi berkata, jika perbincangan itu melibatkan soal Islam, Pas
akan berpegang kepada dasarnya iaitu berlandaskan al-Quran, hadis, ijmak
ulama dan qiyas.
"Pas pernah membuka pintu mengajak Umno bermuzakarah pada 1980-an dengan berdasarkan perkara-perkara berkenaan," katanya.
Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
dilapor sebagai berkata, kerjasama antara Umno dan Pas untuk menyatukan
orang Melayu serta umat Islam di negara ini bukan perkara mustahil.
Paparan berita mengenai kesediaan Pas bekerjasama dengan Umno ini juga
menjadi berita pilihan pembaca di Sinar Harian Online hari ini apabila
ia berada di kedudukan teratas segmen '5 paling hot'. - SH
Populariti Hishamuddin Rais sudah merosot.