Jika semalam Pemuda PAS Selangor mengkritik kekurangan penajaan sukan
bola sepak negeri oleh syarikat Menteri Besar Incorporated (MBI), hari
ini menteri besar sendiri mahu pertubuhan itu membuat pilihan di antara
"masjid atau bola".
Cabaran
itu dilontarkan Tan Sri Khalid Ibrahim sewaktu mengulas dakwaan
kekurangan penajaan MBI menyebabkan beberapa pemain bintang dalam
pasukan Selangor dipancing pasukan lain.
"Saya dapati jumlah
peruntukan yang diberikan, kalau rakan-rakan Pemuda PAS berminat (hendak
tahu), tiap-tiap tahun kita mempunyai peruntukan untuk membiayai bola
sepak melebihi pembinaan satu masjid.
"Bererti tiap-tiap tahun
kita guna melebihi RM7 juta. Maknanya, adakah (Pemuda) PAS berminat
untuk kita buat masjid atau pun menggalakkan bola sepak?
"Jadi kita kena buat pilihan," katanya kepada Malaysiakini tengah hari ini.
Khalid ditemui selepas menghadiri Majlis Dialog Belanjawan 2014 di Subang Jaya.
Semalam
Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohd Sany Hamzan mengkritik
kekurangan penajaan MBI sehingga menyebabkan pemain seperti Amri Yahyah,
Norazlan Razali, Mahalli Jasuli dan Asraruddin Putra Omar cuba dipikat
Kelab Johor Darul Takzim dengan tawaran gaji yang lumayan.
Mohd
Sany berkata kegagalan penaja menyalurkan penajaan akan menyebabkan
pemain senior dan berbakat negeri itu berhijrah dan dibimbangi akan
menyebabkan pasukan "gergasi bola sepak negara suatu ketika dahulu
menjadi lesu dan tidak bermaya".
Selangor sehingga kini berjaya
memenangi 32 gelaran juara Piala Malaysia, tujuh gelaran juara liga
divisyen 1, dua gelaran juara liga divisyen 2, lima gelaran juara Piala
FA Malaysia, dan lapan gelaran juara perlawanan sumbangsih atau Perisai
Sultan Haji Ahmad Shah.
Ia sekali gus menjadikan Selangor satu-satunya pasukan yang paling banyak menjuarai piala kejohanan tempatan.
MBI adalah penaja utama pasukan Selangor. - Malaysiakini
Yang mana satu ahli parti Islam Semalaysia.