SEPANG - Global
Ikhwan Sdn Bhd (GISB), syarikat yang dikaitkan dengan pertubuhan haram
Al Arqam, didakwa melanggar salah satu daripada sembilan langkah kembali
bertaubat yang dikemukakan syarikat itu, baru-baru ini.
Perkara itu diakui oleh seorang bekas pengikut Al Arqam, Zawawi Aman,
di mana hanya isteri, Samsiah Yusoh dan seorang anaknya, Muhammad Abdul
Bar, 4, pulang ke pangkuan suami, kelmarin.
Sedangkan GISB sebelum ini berjanji akan memulangkan isteri dan anak ke
pangkuan keluarga, namun tiga lagi anak perempuan Zawawi, Siti Maryam
Adzar, Nur Samahan dan Siti Khaulah Al Azwar masih menetap di Jordan
dengan alasan sedang belajar.
Samsiah ketika ditemui menjelaskan, tiga anaknya itu baru mengikuti
sesi pembelajaran di Jordan di mana yuran pengajiannya ditanggung
sepenuhnya oleh GISB.
Ibu kepada lapan orang anak itu bagaimanapun tidak pasti bila anaknya
akan pulang dan dia akan berbincang dengan suami bagi menyelesaikan
perkara tersebut.
“Yuran pengajian agak mahal. Semua dibiayai oleh GISB,” jelas Samsiah.
Namun bagi Zawawi, beliau memberi masa selama dua minggu kepada GISB
memulangkan semula tiga anaknya, jika tidak beliau akan membuat laporan
polis demi memastikan keselamatan anaknya terjamin.
“Mereka masih di bawah umur dan menjadi tanggungjawab saya sebagai bapa
untuk menentukan di mana mereka akan belajar. Saya juga tidak tahu
adakah mereka benar sedang belajar di sana.
“Lagipun saya tidak tahu tahap keselamatan mereka. Paling saya risau,
mereka mungkin dikahwinkan pada usia muda di mana pernah berlaku perkara
sama sebelum ini terhadap anak pengikut GISB,” katanya ketika ditemui
di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.
Zawawi berkata, beliau tidak akan berputus asa selagi tidak melihat tiga anak perempuannya itu kembali ke sisinya. - SH
Ada nampak laki bini ni bersalam?
