ALOR SETAR - Pas sedia bekerjasama dengan Umno termasuk berdialog bagi
membincangkan pelbagai isu jika parti itu dipelawa, kata Presidennya
Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Katanya, Pas boleh berbincang mengenai apa sahaja isu dan sejarah
membuktikan pemimpin-pemimpin Pas dan Umno boleh berada bersama di atas
satu pentas.
Beliau berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan
bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor pernah bersama dalam
satu forum suatu ketika dahulu.
"Dasar kita boleh berbincang apa sahaja isu seperti jenayah, rasuah dan
ekonomi. Kalau kita diajak kita boleh pergi, kita boleh bincang,"
katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Konvokesyen
Kolej Islam Darul Ulum di Pokok Sena, dekat sini hari ini.
Abdul Hadi berkata, jika perbincangan itu melibatkan soal Islam, Pas
akan berpegang kepada dasarnya iaitu berlandaskan al-Quran, hadis, ijmak
ulama dan qiyas.
"Pas pernah membuka pintu mengajak Umno bermuzakarah pada 1980-an dengan berdasarkan perkara-perkara berkenaan," katanya.
Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
dilapor sebagai berkata, kerjasama antara Umno dan Pas untuk menyatukan
orang Melayu serta umat Islam di negara ini bukan perkara mustahil.
Mengenai cadangan Dewan Ulama Pas supaya tahaaluf siyaasi (kerjasama
politik) antara parti itu dengan sekutunya dalam pakatan pembangkang
dikaji semula, Abdul Hadi berkata, Dewan Ulama Pas berhak mengemukakan
usul ke muktamar Pas akhir tahun ini yang kemudian akan dibawa ke sebuah
jawatankuasa untuk ditapis.
"Terpulang kepada Dewan Ulama Pas, bukan hak kita dan jawatankuasa usul
akan melihatnya. Kadang-kadang usul ini tak perlu dibahas tetapi
diselesaikan secara peringkat dalaman parti," katanya. - Bernama
PAS sudah tua. Takkanlah tidak faham perangai busuk Umno.