PADANG RENGAS 3 Ogos - Ahli Majlis Tertinggi
UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yakin filem The New Village
yang dikatakan mengagung-agungkan perjuangan komunis tidak akan
ditayangkan langsung.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata, larangan
tayangan itu bukan setakat di panggung wayang malah meliputi semua
bentuk media termasuk laman blog dan YouTube.
Katanya, kerajaan tidak mahu memberikan isyarat yang salah kepada
generasi baru negara seolah-olah perjuangan komunis diberikan
penghargaan di Malaysia.
"Saya dan rakan-rakan dalam UMNO, kita akan berterus-terusan dan
berhabis-habisan memastikan apa jua bentuk pendewaan terhadap komunisme
tidak akan dilaksanakan.
"Jika didapati betul filem ini mendewa-dewakan komunisme, kita mahu
filem itu tidak dipertontonkan langsung. Sekalipun keluar dalam blog dan
YouTube, kita akan cari mereka sampai dapat," katanya kepada pemberita
selepas Majlis Penyampaian Program Ihsan Ramadan dan Aidilfitri
Peringkat Parlimen Padang Rengas di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai desakan banyak pihak supaya filem The New Village tidak ditayangkan kerana mengagung-agungkan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM).
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, filem atau
apa jua bentuk penghargaan terhadap pengganas komunis tidak boleh
diberikan tempat di negara ini kerana kumpulan itu telah mengisytiharkan
perang terhadap negara sehingga menyebabkan darurat dari 1948 hingga
1960.
Katanya, dalam pertempuran sepanjang tempoh darurat dan selepas itu,
ramai anggota pasukan keselamatan negara terkorban dan mengalami
kecacatan kekal sehingga hari ini.
"Ada antara mereka kehilangan kaki, tangan dan buta kerana jerangkap
samar dan banyak keluarga kehilangan bapa, abang dan adik mereka hasil
daripada pengisytiharan perang yang dilakukan oleh komunis terhadap
kita. Kehilangan dan kecacatan ini tidak boleh dikembalikan," katanya.
Selain itu, kata Mohamed Nazri, fahaman komunis yang tidak bertuhan
tidak konsisten dengan prinsip pertama Rukun Negara iaitu kepercayaan
kepada tuhan. - Utusan
Sejarah dilihat pada siapa yang memerintah.