Selepas akhbar Singapura melaporkan dakwaan pembunuh upahan boleh
diperoleh dengan RM5,000 di Malaysia, akhbar tempatan pula hari ini
melaporkan harganya lebih rendah lagi.
Sebuah harian berbahasa
Melayu melaporkan pembunuh upahan boleh diupah serendah RM1,000, yang
ironinya menepati tajuk kontroversi The New Paper Singapura bahawa "death is cheap" (murah untuk mati) di Malaysia.
Dalam temubual dengan Sinar Harian, penganalisis
jenayah Datuk Akhbar Satar ditanya sama ada faktor upah serendah
RM1,000 punca peningkatan pembunuhan menggunakan senjata api.
"Ya, tetapi bukan faktor itu sahaja. Kini senjata api boleh disewa dengan kadar harga yang murah.
"Malah
ada senjata api daripada negara luar, yang terpakai boleh dibeli dengan
harga yang lebih murah iaitu pada kadar RM700 ke bawah," beliau dipetik
sebagai berkata.
Akhbar Satar yang juga presiden Transparency
International-Malaysia berkata ramai orang tempatan mempelajari cara
menjadi pembunuh upahan dan kaedah membunuh melalui internet.
"Penjenayah ini boleh dikategorikan kepada 'contract killer' iaitu amatur, semi profesional dan profesional.
"Di
negara ini, ramai yang terdiri dariada semi profesional dan apabia
melakukan pembunuhan, masih meninggalkan bukti yang membantu pihak polis
melakukan siasatan," beliau dipetik sebagai berkata. - Malaysiakini