KUALA PILAH – Tarikh keramat 10 Februari 1997, pasti tidak akan
dilupakan oleh seorang pemuda apabila terlibat dalam nahas jalan raya
yang mengubah hidupnya selain turut mengorbankan sepupunya.
Nazrul Nazri, 33, berkata, ketika kejadian, motosikal yang ditunggang
bersama sepupunya dilanggar kenderaan lain di Jalan Kuala Pilah-Batu
Kikir di Kampung Gentam.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dia putus tangan kanan sehingga ke paras bahu, putus jari manis dan kaki kanannya patah.
"Selepas kejadian itu, kehidupan saya berubah apabila disahkan
mengalami pelbagai komplikasi penyakit dan perlu dirawat selama sebulan
di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban.
“Selepas keluar hospital, saya boleh berjalan, namun pada Jun 1998,
saya mengalami kebas di kaki kanan dan keadaan kaki saya menjadi semakin
lemah. Pada Oktober tahun sama, saya terpaksa berjalan menggunakan
tongkat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pelangai Hilir,
baru-baru ini.
Tidak terhenti di situ, pada Mei 1999, Nazrul dimasukkan ke Hospital
Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk menjalani pemeriksaan X-Ray
dan mendapati tulang tengkuknya retak manakala tulang belakang sebelah
kiri dimasuki kuman serta air tulang belakang berketul.
“Atas nasihat doktor, pada Jun 1999, saya menjalani pembedahan di
bahagian tengkuk termasuk tulang belakang. Mulai saat itu, kehidupan
saya berubah kerana tidak mampu berjalan dan doktor mengesahkan saya
mengidap penyakit ‘brown squad syndrom’ (kurang daya tahan urat sarat).
“Walaupun sedih, saya tetap cekal untuk menjalani fisioterapi di HUKM
selama tiga bulan sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah
(HTAN) Kuala Pilah kerana berhampiran dengan rumah,” katanya.
Nazrul berkata, mulai 2002 dia tidak lagi menjalani pemeriksaan di
hospital kerana menghadapi masalah pengangkutan dan kewangan.
“Hampir 10 tahun, saya tidak menjalani pemeriksaan. Kemudian, pada
2012, saya melakukan pemeriksaan di HTJ dan doktor memberitahu tulang
tengkuk saya bengkok, manakala tulang tengkorak dan tulang belakang
tidak selari.
“Kes saya ini sudah dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan pihak
doktor mengatakan dua batang tulang di bahagian leher terpaksa diganti
dengan tatinium dengan kos keseluruhan melebihi RM8,000," katanya.
Bagaimanapun katanya, dia terpaksa menangguhkan pembedahan itu kerana tidak mampu dan hanya berubat secara tradisional.
Sementara itu, Nazrul berkata, kini dia hanya bergantung wang pencen
arwah ayahnya yang sebelum ini bertugas sebagai anggota polis sebanyak
RM400 sebulan.
"Ibu saya, Rajah Jaali, 55, seorang ibu tunggal dan dengan wang pencen
itu, kami sekeluarga gunakan untuk menampung kos harian termasuk
perbelanjaan sekolah adik perempuan saya.
"Selain itu, ibu juga menanggung seorang makcik yang merupakan orang
kurang upaya cacat penglihatan. Ibu pernah memohon bantuan Jabatan
Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk makcik tetapi tidak dilayan," katanya.
Menurutnya, walaupun dia ada menerima bantuan JKM dan Baitulmal, namun
itu juga tidak mencukupi untuk menampung kos perubatannya.
“Kos ubat saya setiap bulan melebihi RM500 sedangkan saya hanya menerima RM300 dari JKM dan Baitulmal sebanyak RM100 sebulan.
"Pihak HTAN juga menasihatkan saya agar membuat bilik air dan tandas
baru sesuai dengan keadaan saya dan itu semua memerlukan kos tinggi,”
katanya.
Dalam pada itu, katanya, doktor pernah menyarankannya menggunakan katil
elektrik yang bersaiz besar bagi memudahkannya meluruskan badan dan
bergerak ke kiri dan kanan yang menelan kos sebanyak RM20,000.
Kepada sesiapa yang ingin menyalurkan bantuan bagi meringankan penderitaan Nazrul boleh menghubunginya di talian 013-2988958. - SH