13 August 2013

Surau ‘Buddha’: Pemilik resort direman 4 hari

Pemilik Tanjung Sutera Beach Resort, Syed Ahmad Syed Salim Alkaff, 45, direman empat hari sehingga Jumaat ini kerana disyaki membenarkan surau di premisnya dijadikan tapak meditasi oleh penganut bukan Islam.


Permohonan reman itu dibuat di hadapan Pendaftar Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Hairul Azhar Mohamad hari ini.
Sementara itu, Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin bersama Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi, Hasrin Kamal Hashim akan mengadakan perbincangan hari ini bagi membuat keputusan untuk merobohkan surau yang dijadikan tapak meditasi oleh penganut Buddha di Kota Tinggi, Johor itu.

Mohd Tahrir berkata, langkah berkenaan dicadangkan bagi mengelak kontroversi rumah ibadat yang menjadi perhatian ramai di media sosial berlarutan.
Surau berkenaan turut diragui dari segi reka bentuknya serta kedudukan arah kiblat yang tersasar dari Kaabah malah menghadap luar dari kawasan Masjidil Haram.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Noh Gadut berkata berdasarkan pemerhatian terdapat kesilapan dalam ayat Al-Quran dijumpai di kawasan surau berkenaan yang menambah kecurigaan serta mencemarkan kesucian agama Islam.

Katanya, isu itu bakal meruncing jika tidak ditangani segera terutama dalam landskap negara yang terdiri daripada pelbagai kaum. – 13 Ogos, 2013.