19 July 2013

Rugi RM7j melabur skim duit kutu

KUALA LUMPUR 18 Julai - Akibat terlalu mempercayai seorang operator wanita di sebuah syarikat teksi, sekumpulan 30 individu kerugian hampir RM7 juta selepas melabur dalam satu skim pelaburan ala kutu yang menjanjikan keuntungan dalam tempoh singkat.


Kesemua mangsa dikatakan mengenali wanita yang dikenali sebagai Ng, 34, dan termakan hasutan setiap janji manis yang diberikannya.
Salah seorang mangsa, Heng Hwa Keng, 41, mendakwa, dia kerugian RM95,000 setelah membuat pelaburan sejak Januari tahun lepas, apabila diperkenalkan oleh seorang rakan yang turut melabur dengan suspek.

"Menurut wanita itu, saya harus memasukkan sejumlah RM5,000 setiap bulan ke dalam akaunnya dan bakal mendapat keuntungan dividen mencecah ribuan ringgit pada setiap bulan.
"Katanya, saya akan mendapat RM3,000 hingga RM4,000 jika saya mengikuti segala syarat yang diperuntukkan syarikat berkenaan," katanya ketika membuat laporan polis bersama mangsa lain di Balai Polis Setapak hari ini.

Mengulas lanjut, Hwa Keng memberitahu, walaupun sering memasukkan wang pelaburan, dia tidak pernah sekalipun menerima dividen yang dijanjikan.
"Saya tidak pernah terlepas memasukkan wang kerana mengharapkan dividen itu tetapi apabila saya syak ada sesuatu yang tidak kena, saya tidak lagi memasukkan wang dalam akaunnya pada 15 Julai lalu.

"Saya banyak kali menghubungi Ng untuk menuntut kembali pulangan pelaburan itu tetapi talian itu tidak disambung seolah-olah nombor telefonnya tidak lagi aktif.
"Saya kemudian membuat keputusan untuk mencarinya di alamat rumah iaitu di Taman Muda, Ampang, namun jirannya memberitahu, mereka sekeluarga berpindah," katanya yang baru menyedari telah tertipu.

Turut menjadi mangsa ialah seorang nenek, Chia Yoon Thai, 61, yang mengeluarkan wang simpanannya untuk melabur dengan Ng yang amat dikenalinya.
"Saya mengenali Ng kerana dia anak kawan saya dan boleh dikatakan rapat. Sebab itu saya percayakan dia dan mengeluarkan wang simpanan untuk melabur dengannya.

"Saya tidak sangka dia tergamak menipu. Sebelum kami mengetahui ditipu, Ng sekeluarga ada ke Taiwan untuk bercuti, selepas itulah dia menghilangkan diri," katanya yang kerugian RM6,000.
Sementara itu, wakil Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional Segambut, Tan Beng Peng berharap pihak polis segera mengesan suspek yang terlibat untuk dibawa ke pihak pengadilan dan memulangkan semula wang mangsa. - Utusan