KANGAR – Seorang pemuda mengambil jalan mudah bagi mendapatkan modal
menjual air soya di sebuah bazar Ramadan di daerah ini apabila tergamak
melakukan kegiatan memecahkan tabung masjid sepanjang bulan Ramadan ini.
Pemuda berusia 23 tahun itu setakat ini berjaya memecah dan melarikan
wang tabung di enam buah masjid yang kerap dilakukannya pada waktu
petang selepas jemaah meninggalkan masjid.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintendan Ismail Che
Isa berkata, bagaimanapun perbuatan liciknya dapat ditumpaskan hasil
intipan pihaknya ekoran aduan terdapat kegiatan pecah tabung masjid pada
bulan puasa.
“Suspek akan berlagak kononnya alim dan bersembahyang bersama jemaah
lain sebelum mengadu keletihan kerana berpuasa dan berpura-pura tidur.
“Apabila jemaah pulang, baru suspek melakukan kegiatannya menggunakan
peralatan pecah rumah seperti pemotong besi, spana, pemutar skru, lampu
picit dan lain-lain untuk melarikan wang di tabung masjid itu,” katanya
pada sidang akhbar di sini semalam. - Kosmo
Untung nanti dia pulanglah. Pusat zakat tak rasa malukah baca berita ini?