26 June 2013

Wan Ahmad: SPR jadi ‘kambing hitam’ kerana Pakatan takut salahkan rakyat

Pakatan Rakyat (PR) takut menyalahkan rakyat dengan keputusan Pilihan Raya 2013 yang tidak memihak kepada mereka, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar (gambar) menyebabkan mereka menjadikan pengendali pilihan raya itu sebagai "kambing hitam" dan mangsa untuk melepaskan kemarahan.

Wan Ahmad menegaskan, rasa marah yang timbul oleh kepimpinan PR itu kemudiannya disalurkan kepada penyokong mereka yang tidak mengerti akan undang-undang dan seterusnya meluahkan rasa marah dengan membantah keputusan pilihan raya di jalanan dan terbaru demonstrasi di hadapan Parlimen semalam.

"Generasi muda tidak faham ... bila timbul emosi dan sudah pasti terbit rasa marah, dan mengambil jalan mudah dengan menyalahkan SPR, serta menjadikan SPR sebagai kambing hitam," katanya ketika dihubungi The Malaysia Insider.


Semalam, sekumpulan lebih 100 anak muda daripada Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengadakan demonstrasi di perkarangan pintu masuk Parlimen sempena upacara mengangkat sumpah ahli Parlimen bagi Sidang Dewan Rakyat ke-13.

Demonstrasi yang bermula sekitar jam 9 pagi dan berakhir tiga jam kemudian itu menunutut agar Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan timbalannya Wan Ahmad meletakkan jawatan ekoran dakwaan wujudnya kecurangan dalam Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lalu.

Demonstrasi semalam turut menyaksikan beberapa  aktivis seperti Adam Adli Abdul Halim, Badrul Hisham Shaharin, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Safwan Anang, dan juga Shukri Razab.

"Tindakan mereka (demonstrasi) tak masuk akal .. kita buat kerja betul, ikut undang-undang," katanya lagi.
Beliau turut berkata tindakan demonstrasi dan himpunan dilaksanakan PR juga seperti mempunyai agenda tersembunyi, yang mana SPR telah melaksanakan tugas dengan betul ketika pilihan raya.

"Kami telah jalankan tugas dengan baik semasa pilihan raya. Ada negeri yang telah angkat sumpah di Dewan Negeri, dan semalam upacara mengangkat sumpah di Parlimen ... ini sudah pasti ada agenda lain.
"Tapi saya tidak tahulah apa agenda mereka," katanya.

Wan Ahmad menegaskan PR menjangkakan akan memenangi Pilihan Raya 2013, namun apabila itu tidak berlaku, SPR menjadi sasaran mudah dan disalahkan.
"Mereka tewas kepada Barisan Nasional (BN) mereka rasa marah, nak kata rakyat tidak memilih, mereka takut ... jadi jalan mudah adalah menyalahkan pengendali pilihan raya," katanya.

Ditanya respon terhadap gesaan untuk pengerusi dan dirinya meletakkan jawatan, Wan Ahmad menegaskan peserta demonstrasi itu menuntut perkara yang bercanggah dengan sistem perundangan dan Perlembagaan, dan bukan keperluan untuk mereka melayani permintaan tersebut.

"Mereka dipengaruhi tuduhan-tuduhan tidak berasas, kemudian rasa marah dan duduk di tepi jalan ... itu kerja sia-sia," katanya lagi, dan menambah pemimpin PR perlu menunggu keputsan petisyen sebelum membuat dakwaan-dakwaan terhadap pengendali pilihan raya itu.

Wan Ahmad dan Abdul Aziz telah menerima kritikan keras selepas keputusan pilihan raya diumumkan apabila PR mendakwa badan pengendali itu tidak telus dalam menjalankan tugas mereka yang menyaksikan PR memenangi 89 kerusi parlimen, manakala baki 133 kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen menjadi milik BN.

"Segala tohmahan dan penipuan termasuk fitnah yang dibuat terhadap SPR ataupun secara peribadi, itu balasannya di akhirat nanti.
"Bagi saya, kami telah menjalankan tugas dengan betul mengikut undang-undang," katanya lagi. - 25 Jun, 2013.

Rakyat memihak kepada PR tetapi Umno-BN yang perintah. Pengerusi dan timbalannya SPR wajar letak jawatan.