KUALA LUMPUR - Semua 1,804 buah sekolah di enam buah negeri
membabitkan kira-kira 1.5 juta pelajar yang ditutup semalam ekoran
krisis jerebu kritikal yang melanda negara sejak beberapa hari lalu
dibuka semula hari ini setelah bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU)
bertambah baik.
Hanya 131 buah sekolah di Pelabuhan Klang dan Klang yang masih ditutup.
Semua 1,230 buah sekolah di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor akan
dibuka esok kecuali sekolah di Pelabuhan Klang dan Klang yang
membabitkan 161,886 pelajar masih ditutup kerana bacaan IPU di kawasan
tersebut mencatat bacaan 319 iaitu melebihi tahap berbahaya semalam.
Penutupan itu membabitkan 93 buah sekolah rendah dan 38 buah sekolah menengah.
Negeri-negeri yang terlibat dengan penutupan sekolah semalam ialah
Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Johor, Melaka, Pahang dan Negeri
Sembilan.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud berkata,
berdasarkan kepada Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, sekolah wajib
ditutup sekiranya bacaan IPU melebihi 300. - Kosmo