KUALA TERENGGANU 1 Jun - Pas hari ini meminta semua pihak menerima
keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang menyaksikan Barisan
Nasional (BN) terus diberi mandat memerintah negara ini.
Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata, langkah itu penting
bagi menjamin keamanan dan kestabilan yang berkekalan sekali gus menolak
insiden tidak diingini berlaku sehingga boleh mencetuskan huru-hara.
Beliau berharap mana-mana pihak yang masih tidak berpuas hati dengan
keputusan pilihan raya umum lalu, bersikap lebih rasional dan tidak
bertindak mengikut perasaan termasuk melakukan kekerasan.
"Seperti yang saya telah kata, keputusan PRU-13 sudah pun keluar dan
diumumkan, jadi kita harap semua pihak termasuk seluruh rakyat di negara
ini dapat terima hakikat keputusan pilihan raya umum itu sama ada
menang atau kalah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Harun diminta mengulas pendirian parti berkenaan berikutan gesaan
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah supaya rakyat di
negara ini akur dengan keputusan PRU-13 yang telah ditentukan oleh
mereka sendiri.
Seri Paduka bertitah, sebarang perubahan politik di negara ini perlu
dilakukan secara aman dan menerusi peti undi berpandukan prinsip
keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.
Titah Tuanku Abdul Halim, tindakan menanam kesangsian terhadap
institusi yang telah diamanahkan Perlembagaan Persekutuan untuk
mengelolakan pilihan raya di negara ini adalah perbuatan yang amat
berbahaya.
Harun bagaimanapun mengakui memang wujud pihak-pihak tertentu yang masih tidak berpuas hati dengan keputusan PRU-13.
"Memang ada pihak tak puas hati dengan keputusan PRU-13 lalu, itu hak
mereka sama ada hendak nyatakan bantahan mereka dengan cara berceramah
dan sebagainya, kita tak boleh halang mereka," katanya. - Utusan
Siapa yang tidak terima keputusan PRU13? Buktinya negeri yang menang sudah angkat sumpah. Yang kita tidak terima ialah Umno-BN menang cara menipu. Kerja kuat PR selama 5 tahun akan datang akan gagal lagi dan lagi bila Umno-BN & SPR guna cara yang sama.