02 June 2013

Perompak larikan RM217,950

PASIR MAS 1 Jun - Sekumpulan perompak melarikan wang berjumlah RM217,950 setelah memecah sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik Bank Islam bersebelahan Bangunan Tabung Haji Pasir Mas di sini awal pagi ini.


Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim memberitahu, kejadian tersebut hanya disedari oleh orang awam yang kemudian menghubungi pihak polis pada pukul 8.30 pagi.
"Polis menerima aduan menyatakan mesin ATM di situ telah dipecah dan pihak polis segera ke tempat kejadian.

"Siasatan kita mendapati mesin itu telah dipecahkan dengan menggunakan gas Oxy-Acetylene," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Mazlan, pihaknya akan menyiasat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di situ selain berusaha mendapatkan kesan cap jari.

"Pihak polis juga memohon kerjasama daripada orang ramai untuk tampil memberi maklumat sekiranya mengetahui mengenai kejadian ini," katanya.
Sementara itu, seorang pemilik kedai di situ, Lim Chung Yau, 53, berkata, beliau mengetahui ATM yang terletak di dalam Bangunan Tabung Haji bersebelahan kedainya itu dirompak pagi ini.

"Khamis lalu, saya tutup kedai pada pukul 6 petang, manakala semalam hari Jumaat semua kedai tutup. Pada masa itu, saya tidak nampak kelibat orang yang mencurigakan atau kejadian yang pelik," katanya ketika ditemui di sini.

Tambah Chung Yau, beliau mendapati ada kain rentang telah ditampal pada cermin bangunan tersebut dan mengesyaki penjenayah menggunakan taktik itu bagi mengelak daripada dilihat orang awam mahupun pihak polis.

Katanya, dia turut mengesyaki penjenayah merupakan mereka yang sangat profesional ketika melakukan rompakan kerana dia tidak mendengar sebarang bunyi penggera keselamatan.

"Saya percaya perompak ini bukan calang-calang orang dan mereka ini dipercayai menggunakan alat berteknologi tinggi. Ini adalah kejadian pertama berlaku di kawasan ini sejak saya memulakan perniagaan 12 tahun lalu," katanya. - Utusan