28 June 2013

Pensyarah, 2 rakan didakwa palsukan invois lebih RM2j


JOHOR BAHRU 27 Jun - Seorang pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama dua rakannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 20 pertuduhan memalsukan invois berjumlah RM2.09 juta, lima tahun lalu.


Tertuduh, Abdul Aziz Abdul Kadir, 49, yang merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Petroleum UTM dan bekas Pengurus Kanan, Bahagian Teknologi, Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Samad Sapari, 49, serta ahli perniagaan, Mohamad Farhan Chua Abdullah, 46, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa dengan curang menggunakan dokumen palsu untuk memperdaya MTDC bagi menuntut dana daripada perbadanan itu antara Ogos 2009 dan November 2010.
Menurut kertas pertuduhan, mereka didakwa memalsukan dokumen berbentuk invois membabitkan enam syarikat tempatan berlainan dengan nilai berbeza.

Ia melibatkan 10 invois daripada Extra Basic Sdn. Bhd., dengan jumlah mencecah RM1.25 juta, manakala masing-masing dua invois palsu daripada Chuan Li Steel Construction (M) Sdn. Bhd., AJ Analytical Services & Trading dan Kurawah Fire System Sdn. Bhd., dan satu invois daripada Capin Pro Resources Sdn. Bhd. yang berjumlah RM853,000.

Mereka turut didakwa menggunakan tiga invois palsu daripada Dysha Global Holdings Sdn. Bhd., dengan nilai RM120,000 dan satu invois daripada Capin Pro Resources Sdn. Bhd., berjumlah RM68,800.
Perbuatan dengan niat bersama itu dilakukan di Pejabat Monitoring And Goverment Liaison, Malaysia Technology Corporation Sdn. Bhd., Menara Yayasan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Ghafar Abd. Latif, manakala tertuduh, Abdul Aziz dan Samad diwakili peguam bela, Muhammad Nor Izzat Nordin dan Mohamad Farhan diwakili peguam bela, Mohamad Fairoz Elyas Majeed.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Julai ini sebagai sebutan semula kes.- Utusan